Akmal Nasir diarah fail pembelaan pada 28 Dis

   

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang dikemukakan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada 28 Disember ini.

Ia berhubung dakwaan kononnya Jamil Khir, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Peguam Adnan Seman yang mewakili Jamil Khir memberitahu pemberita, Timbalan Pendaftar Hurman Hussain turut mengarahkan pihaknya selaku plaintif memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 11 Januari depan.

Katanya mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari untuk pengurusan kes.

Pada 19 November lepas, Jamil Khir memfailkan saman itu dengan menamakan Akmal atau nama sebenarnya Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku defendan.

Menerusi pernyataan tuntutan itu, Jamil Khir mendakwa Akmal telah memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 November lepas.

Jamil Khir mendakwa antara kata-kata fitnah itu adalah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah membabitkan kos antara RM410,978 hingga RM590,000.

Selain itu, Jamil Khir mendakwa Akmal menerbitkan kata-kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dahulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.

Beliau mendakwa Akmal berbuat demikian bagi menjatuhkan maruahnya dan menanam kebencian rakyat bagi meraih sokongan politik kepada parti PKR.

Pada 16 November lepas, peguamcara yang mewakilinya telah menghantar surat tuntutan kepada defendan bagi meminta permohonan maaf, menarik balik kata-kata fitnah tersebut serta membayar ganti rugi RM10 juta, namun defendan enggan

melakukannya.

Berikutan dakwaan itu, Jamil Khir menuntut perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, ganti rugi am, ganti rugi teruk serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskan olehnya sendiri.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In