Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menetapkan 13 Januari bagi hujahan balas pihak pendakwaan berhubung permohonan aktivis, Adam Adli Abd Halim dan Mohd Fariz Abd Talib untuk merujuk isu perlembagaan berkaitan protes jalanan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menetapkan tarikh itu selepas peguam Melissa Sasidaran yang mewakili Adam Adli dan Mohd Fariz memfailkan permohonan berkenaan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman pada 17 Disember lepas di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.
Permohonan itu bertujuan mencabar beberapa isu antaranya protes jalanan sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.
Pada 8 September lepas, Adam Adli, 26, dan Mohd Fariz, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyertai protes jalanan bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC antara 4 petang dan 7.30 malam, 28 Februari lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaitul Faridah Raja Zaharudin.
- Bernama
