Garis panduan untuk Yapeim dikeluarkan tahun depan
Satu garis panduan akan diwujudkan susulan pendedahan demi pendedahan oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) terhadap Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, garis panduan tersebut akan dikeluarkan pada suku tahun depan bagi memantau dan menasihati Yapeim termasuk institusi agama di negara ini.
“Jawatankuasa tadbir urus Yapeim telah pun dilantik, sebenarnya ada dua terma rujukan.
"Pertamanya, jawatankuasa ini dilantik oleh perdana menteri bertanggungjawab untuk menilai kembali (dan) memberikan nasihat bagaimana untuk tadbir urus Yapeim.
“Kedua untuk mendatangkan satu garis panduan (kerana) kita tidak ada lagi satu garis panduan atau best practise tadbir urus bagi institusi-institusi Islam.
“Kalau ini dapat kita hasilkan ia akan menjadi garis panduan pertama di dunia,” katanya kepada pemberita di Majlis Zakat Korporat di Kuala Lumpur.
Katanya antara pihak yang dilantik dalam Jawatankuasa itu ialah ahli lembaga Chartered institute Management yang berpusat di London, wakil Jabatan Perdana Menteri, Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), wakil Khazanah Nasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan wakil pertubuhan institusi -institusi pertubuhan islam.
“(Mereka dilantik) supaya mereka ini dapat memberikan pandangan yang terbaik bagi kita menghasilkan garis panduan islam untuk institusi islam yang ada di negara kita ini,” katanya.
Sementara itu, Asyraf ketika diminta mengulas mengenai usul PERKASA yang mendesak kerajaan agar mengisytiharkan kumpulan Melayu ternama G25 sebagai sesat berkata:
“Dah banyak sangat (berita mengenai) G25, (kalau komen) nanti dia popular pula nanti,” katanya.
Terdahulu Pengarah NOW, Akmal Nasir membuat beberapa siri pendedahan membabitkan Yapeim.
Antaranya elaun sebanyak RM2 juta setahun kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya dan lawatan menteri ke Amerika Syarikat dibiayai menggunakan dana anak yatim menerusi Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN).
Selain itu, Yapeim juga didakwa mengadakan kursus perkahwinan di Paris dan terbaru didakwa memiliki peralatan simulator golf di sebuah pusat latihan di Petaling Jaya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
