Maruah dan kegemilangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) perlu dikembalikan supaya perjuangannya membela pekerja berjaya, kata Syed Shahir Mohamad yang bakal mencabar Datuk Zainal Rampak untuk jawatan Presiden MTUC minggu depan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Peralatan Pengangkutan dan Sekutu Semenanjung , berkata MTUC perlu mempunyai agenda yang jelas untuk memberi manfaat dan pembelaan kepada kaum pekerja secara keseluruhannya.

Beliau berkata, pekerja di negera ini merupakan golongan yang tertindas dan tidak mendapat pembelaan yang mencukupi daripada pemerintah dan majikan.

"Kita perlu bertanya apa yang mahu dilakukan lagi oleh pucuk pimpinan MTUC terhadap pekerja kerana agenda perjuangan mereka tidak diterima oleh pemerintah?

"Keperluan asas pekerja iaitu jaminan kerja untuk mereka, tidak diterima oleh majikan, gaji minima belum dilaksanakan isu berhubung Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan faedah pemberhentian pekerja belum selesai.

"Gaji pekerja kecil, sedangkan keringat terus diperah, manakala kos hidup melambung dengan dibebani kenaikan harga barangan asas setiap tahun," katanya kepada malaysiakini hari ini.

"Akibatnya pekerja terpaksa melakukan dua tiga kerja kerana pendapatan yang tidak cukup. Ini kerana pekerja tidak mendapat upah yang munasabah daripada pasaran buruh," tambahnya.

Perlu dihormati umum

Dalam sesetengah sektor pekerjaan, katanya, upah yang dibayar kepada pekerja langsung tidak mencapai tahap kemanusiaan, umpamanya pengawal keselamatan yang bekerja 12 jam, dipaksa oleh majikan bekerja sehingga 24 jam.

Syed Shahir akan menentang Datuk Zainal Rampak dalam pertandingan jawatan Presiden MTUC pada 28 dan 29 Disember ini. Ini adalah kali kelima beliau menentang Zainal dan tewas dalam empat percubaannya sebelum ini.

Menurutnya lagi, sesebuah organisasi yang besar seperti MTUC sepatutnya dihormati oleh semua pihak termasuk pemerintah.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan berlaku jika MTUC dipimpin oleh mereka yang kepimpinannya dipersoal umum kerana banyak yang dilakukan tidak memberi apa-apa erti.

"Seorang pemimpin MTUC perlu menampakkan ciri-ciri yang mahu dihormati dan diyakini oleh pihak lain golongan pekerja dan majikan barulah perjuangan pekerja akan berhasil," katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, dalam keadaan sekarang ini, MTUC perlu tampil dengan satu corak kepimpinan yang dapat berhadapan dengan era globalisasi.

Kata Syed Shahir, MTUC tidak memerlukan pemupukan dan pemujaan tokoh tertentu sebaliknya perjuangan mereka perlu memberi manfaat kepada pekerja yang semakin tercabar sekarang ini.