Kenaikan harga gas asli sebanyak 17.2 peratus, yang dijadualkan pada 1 Januari tahun depan, dilihat sebagai terlalu awal, terlalu tinggi dan berlaku secara tiba-tiba dengan para pengeluar diberi hanya notis selama 10 hari.
Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low Jau Foo, berkata setiap pengeluar perlu menyesuaikan harga bergantung kepada jenis produk dan kos pembuatan mereka.
Margma menganggarkan bahawa peningkatan itu akan menyebabkan penambahan kos sebanyak US$0.40 kepada US$0.70 untuk setiap 1,000 helai sarung tangan nitril dan kira-kira US$0.30 kepada US$0.50 untuk sarung tangan lateks.
"Pengeluar sarung tangan getah telah menjangkakan kenaikan harga dan memahami keperluan untuk rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, bagaimanapun, kuantum yang diumumkan adalah terlalu tinggi, berlaku secara tiba-tiba dan menjadi beban kepada kami sekarang ini.
"Notis 10 hari itu adalah terlalu pendek dan mendatangkan kesukaran kepada pengeluar untuk menguruskan peningkatan mendadak dalam kos pengeluaran disebabkan harga jualan untuk tempahan telah ditetapkan beberapa bulan lebih awal," katanya.
Margma berkata walaupun perniagaan sarung tangan getah masih teguh dengan syarikat-syarikat melaporkan keuntungan yang baik, pembeli sebenarnya mendapat tawaran harga yang sangat rendah.
Katanya, pembeli menuntut harga yang lebih rendah setiap kali berlaku peningkatan dalam dolar US dan pergerakkan menurun dalam harga komoditi, menyebabkan margin keuntungan agak rendah dan akhirnya akan menjejaskan industri sarung tangan getah serta ekonomi Malaysia amnya.
- Bernama
