Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Dalam masa kurang seminggu lagi, kita akan melangkah masuk ke tahun 2016.

Semua petunjuk ekonomi menjangkakan keadaan ekonomi yang lebih mencabar sepanjang tahun yang akan datang ini.

Malaysia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila kesan kejatuhan harga minyak mentah diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai mata wang, hilangnya keyakinan pelabur akibat krisis politik dan kenaikan mendadak kos operasi kesan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bank Negara Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya 8,690 orang pekerja telah diberhentikan sepanjang Januari hingga September 2015 melalui pelbagai skim akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin parah.

Setakat September 2015, seramai 461,000 orang terpaksa menganggur, peningkatan sebanyak 22 peratus atau 84,000 orang berbanding bilangan penganggur pada September 2014.

Apa yang lebih membimbangkan, industri petroleum adalah antara industri yang teruk terjejas dan terpaksa memberhentikan khidmat ramai pekerja.

Kesan kehilangan kuasa beli daripada pekerja-pekerja industri petroleum, yang rata-rata bergaji lebih tinggi jika dibandingkan dengan industri lain tidak boleh dipandang remeh.

Mengikut kajian yang dilakukan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2014, purata isi rumah rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM3,578 sebulan.

Purata perbelanjaan bulanan bagi isi rumah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah jauh lebih tinggi iaitu RM5,559 dan RM5,627 dengan peratus peningkatan masing-masing sebanyak 12.1 peratus dan 12.7 peratus setahun.

Kajian yang sama juga mendedahkan bahawa 23.9 peratus daripada jumlah tersebut dibelanjakan untuk kediaman dan bil-bil utiliti, 18.9 peratus untuk kos makan minum dan 14.6 peratus untuk pengangkutan.

RM9 juta keluar dari KL

Dengan anggapan kadar pertumbuhan kekal seperti tahun 2014, kita boleh menganggarkan purata perbelanjaan bulanan isi rumah pada tahun 2015 untuk Kuala Lumpur adalah sebanyak RM6,232 dan RM6,342 untuk Putrajaya.

Jika kita mengandaikan sepertiga daripada jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang 2015 itu tinggal di sekitar Kuala Lumpur, dan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan sebanyak 50 peratus apabila terpaksa menganggur, Kuala Lumpur akan hilang lebih RM9 juta jualan barang dan perkhidmatan setiap bulan.

Kehilangan jualan ini akan memberi impak terutamanya kepada peniaga-peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) dan mungkin akan menyebabkan kehilangan lebih banyak pekerjaan.

Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pemberhentian pekerja secara beramai-ramai ini tidak menjadi bertambah buruk.

Kerajaan boleh memperkenalkan beberapa inisiatif yang tidak menelan belanja yang tinggi untuk membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan ini seperti membenarkan pengeluaran simpanan KWSP untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Pengeluaran ini boleh dihadkan kepada satu jumlah bersamaan 6 bulan gaji terdahulu untuk memastikan simpanan pesaraan yang mencukupi bagi pekerja tersebut.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan insentif khas kepada bank-bank dan institusi-institusi kewangan yang sedia memberikan payment holiday atau penangguhan bayaran ansuran pinjaman kepada pekerja-pekerja yang diberhentikan ini.

Insentif ini boleh berupa pelepasan cukai ke atas kadar bunga atau keuntungan yang dikenakan sepanjang tempoh penangguhan tersebut.

Kaedah ini juga akan membantu pihak bank menguruskan portfolio pinjaman mereka kerana ia mengelakkan akaun pembiayaan tersebut daripada diklasifikasikan sebagai non-performing loan (NPL) .

Cara mudah, tapi paling mahal

Di sebelah yang lain pula, pihak majikan perlu sedar bahawa memilih pemberhentian pekerja hanyalah patut dilakukan sebagai langkah terakhir.

Walaupun sekali lihat, langkah mengurangkan pekerja tampak sebagai cara paling mudah untuk mengurangkan kos operasi, namun ia sebenarnya adalah langkah yang paling mahal.

Selain terpaksa mengeluarkan kos pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, syarikat juga terpaksa menanggung kos kehilangan aset-aset berupa kemahiran, pengalaman, pengetahuan dan jaringan kenalan pekerja tersebut.

Selain itu, andai keadaan kembali pulih nanti, syarikat terpaksa mengeluarkan kos tambahan pula untuk mencari pekerja baru dan melatih mereka.

Sebaiknya, syarikat memilih untuk memperkemas operasi, mengawal ketirisan dan membentuk budaya kerja yang lebih efisien untuk menjimatkan kos.

Kos-kos bukan keperluan seperti majlis makan malam tahunan, hari keluarga, perkuisit mewah kepada pengurusan tertinggi boleh dibekukan untuk sementara waktu.

Syarikat juga boleh berunding untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman-pinjaman bank sedia ada untuk membantu aliran tunai syarikat.

Syarikat juga boleh memilih untuk menguruskan kapasiti lebihan ( excess capacity) dengan menghantar pekerja-pekerja mengikuti program-program latihan yang disediakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dengan kos minimum.

Ringkasnya, tindakan pemberhentian kerja selalunya adalah tindakan penyelesaian jangka pendek yang akan membawa kerugian jangka panjang.

Kerajaan dan pihak swasta harus berganding bahu bagi mengelakkan lebih ramai pekerja diberhentikan dan bagi membela nasib pekerja-pekerja yang telah dibuang.


SHEIKH KHUZAIFAH SHEIK Abu Bakar ketua biro ekonomi dan hal ehwal korporat Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan, merangkap pengarah komunikasi pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan. Penulis boleh dihubungi melalui [email protected].

Lihat Komen
ADS