Akhbar Utusan Malaysia melaporkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin mendakwa sebahagian daripada cukai lapangan terbang yang dikutip daripada penumpang pesawat yang berlepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibayar kepada syarikat Express Rail Link (ERL) tanpa mengira sama ada khidmatnya digunakan ataupun tidak.
Memetik Raja Petra ( bawah, kanan ) dalam tulisannya semalam, mendakwa, perkara itu terkandung dalam sepucuk surat dengan siri rujukan UPE(S)65/3/5.daripada Kementerian Kewangan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang bertarikh 21 Ogos 1997.
Katanya, surat itu berkaitan dengan memo daripada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan MAHB membayar ERL sebahagian daripada cukai lapangan terbang penumpang domestik dan antarabangsa.
“Bayaran MAHB kepada ERL ini bermula dari hari pertama operasi tren itu sehingga akhir tempoh konsesi 30 tahun.
“Bayaran ini meningkat sebanyak 10 peratus setiap lima tahun sehingga konsesi berakhir,” katanya dalam artikelnya di portal itu yang bertajuk Mahathir’s the Malay Dilemma has become the Malaysian Dilemma.
Justeru, kata Raja Petra, ini bermakna lambat laun cukai lapangan terbang KLIA dan klia2 terpaksa dinaikkan untuk menampung jumlah pembayaran yang semakin meningkat kepada ERL.
ERL sebelum ini mengumumkan, bermula 1 Januari tahun hadapan, harga tiket perkhidmatannya akan dinaikkan kepada RM55 berbanding RM35 sekarang bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA atau klia2.
Peningkatan sebanyak 57 peratus itu adalah semakan pertama sejak ia mula beroperasi 14 tahun lalu.
YTL Corp Bhd menguasai 50 peratus dalam ERL Sdn Bhd.
Menurut Raja Petra lagi, mengikut perjanjian konsesi, tambang ERL (berasingan daripada cukai lapangan terbang) boleh meningkat kepada RM97 pada tahun 2019 dan kemudian menjadi RM126 pada tahun 2024 berbanding RM35 pada masa ini.
Oleh itu dakwanya, jika kenaikan tambang ERL kepada RM55 bermula 1 Januari ini tidak dibenarkan, maka kerajaan perlu membayar berbilion ringgit sebagai pampasan kepada syarikat itu.
“Berdasarkan kadar dipersetujui dan pembayaran daripada MAHB, ERL telah meramalkan pendapatan lebih daripada RM1 bilion setiap tahun bermula dari tahun depan dan menjangkau RM2.5 bilion setahun pada tahun 2027.
“Ini sebenarnya agak besar memandangkan kos keseluruhan pembinaan projek tersebut adalah sebanyak RM2.4 bilion dan ini (jumlah keuntungan) telah jauh lebih besar (daripada kos pembinaan). YTL telah membuat keuntungan yang besar daripada pembinaan tersebut lama dahulu,” katanya.
Dakwa Raja Petra, bukan itu sahaja, terdapat juga peruntukan bagi YTL untuk melanjutkan konsesi ERL selama 30 tahun lagi, yang bermakna mereka akan terus membuat keuntungan untuk generasi baharu kepimpinan syarikat tersebut.
“Oleh itu, sekali lagi, apa yang Dr Mahathir tulis dan berkata pada tahun 1970 (merujuk buku The Malay Dilemma)? Atau apa yang ditulis hanya untuk pembaca Melayu bagi membantu beliau menjadi Perdana Menteri,” dakwa pengendali portal tersebut.
