Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seperti kanak-kanak Malaysia, kanak-kanak pelarian Rohingya juga mempunyai cita-cita masing-masing demi kehidupan yang lebih baik.

Ada yang bercita-cita menjadi guru, polis, doktor, askar malah angkasawan, tetapi Nur Kaidah Nur Alam, ingin membuka kedai kek.

Keinginannya untuk menikmati kek coklat yang sedap seperti yang dihidangkan di majlis-majlis ulang tahun kelahiran rakan membuatkannya selalu berangan-angan membuka bakeri.

"Saya mesti pandai di sekolah, lepas tu belajar buat kek dan buka kedai. Saya boleh selalu makan kek dan cari duit tolong keluarga. Sekarang kalau ada sambutan hari jadi baru makan kek," kata pelajar berusia 13 tahun itu.

Nur Kaidah adalah seorang daripada pelajar di Pusat Ilmu Muslim Aid (PIMA), sebuah 'sekolah' khusus untuk kanak-kanak Rohingya di Ampang, Selangor yang diusahakan oleh Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid (Muslim Aid) Malaysia.

Anak keenam daripada 10 adik-beradik berusia antara tiga dan 24 tahun itu dilahirkan di Malaysia dan tinggal di Terengganu sebelum keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan lebih baik termasuk persekolahan.

Perjalanan panjang

Rakan sekelasnya, Amin Sharif Hasan Sharif, 12, pula amat mengagumi angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

"Saya akan belajar sampai boleh jadi macam angkasawan negara kita," kata Amin Sharif, yang merasakan dirinya sebahagian rakyat Malaysia dan tidak sedikit pun kekok menyebut "negara kita".

Amin Sharif memberitahu bahawa pada empat tahun lepas, dia bersama-sama ibu dan dua adiknya menempuhi perjalanan yang 'panjang' merentasi Myanmar, Bangladesh, India dan Thailand untuk mencari bapanya yang sudah lama berada di Malaysia.

Ibunya tidak bekerja, manakala bapanya bekerja membantu bapa saudaranya dalam bidang pendawaian elektrik di Kuala Lumpur.

Amin Sharif yang sudah dua tahun belajar di PIMA dan menyedari kemungkinan keluarganya ditempatkan ke negara lain berkata: "Saya nak terus tinggal di Malaysia, di sini bagus."

Pendidikan tak formal

Persoalannya, sejauh manakah mereka akan berpeluang melanjutkan pelajaran?

Terdapat 33,710 kanak-kanak pelarian termasuk etnik Rohingya di Malaysia berumur di bawah 18 tahun yang berdaftar dengan UNHCR.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), Yante Ismail berkata kira-kira 29 peratus daripada kanak-kanak itu mengikuti pendidikan di pelbagai peringkat termasuk awal kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah.

"Memandangkan kanak-kanak ini dinafikan akses kepada sistem pendidikan formal negara ini, mereka mendapatkan pendidikan tidak formal di 126 pusat pembelajaran komuniti di mana 31 daripadanya khusus untuk anak-anak Rohingya," katanya.

Sebelas daripada pusat pendidikan itu dikendalikan pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) manakala 115 lagi diusahakan oleh masyarakat pelarian dengan sokongan NGO, organisasi keagamaan dan pihak berkepentingan lain.

Selain menyediakan geran, UNHCR memberi latihan kepada guru-guru dan sukarelawan, menyediakan pelbagai keperluan pendidikan dan sokongan kepada pusat-pusat pembelajaran komuniti itu. Pembiayaan lain termasuk khidmat guru-guru, pengangkutan kanak-kanak, alat tulis, bahan-bahan pengajaran, utiliti, sewa premis serta makanan untuk kanak-kanak.

Menurut Yante, kebanyakan pelajar berusia antara empat hingga 17 tahun dan empat mata pelajaran utama adalah Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Malaysia menggunakan buku-buku teks sekolah Malaysia.

Namun skop dan pencapaian kelas-kelas tersebut sangat terhad ekoran kekurangan sumber, termasuk guru-guru berkelayakan.

Kelas biasanya diadakan di rumah pangsa atau rumah kedai yang disewa, di mana bilik diubah suai menjadi bilik darjah, dengan sebahagian besarnya sesak dan kurang kemudahan pembelajaran asas.

Peluang terhad

Yante berkata hakikatnya melalui persekolahan inilah kanak-kanak pelarian belajar asas membaca, menulis dan mengira.

Katanya mereka juga belajar menjalani kehidupan yang merangkumi aspek kerjasama, toleransi, penerimaan dan kemahiran sosial yang membolehkan mereka berfungsi secara normal dalam mana-mana masyarakat.

"Peluang melanjutkan pendidikan adalah satu cabaran bagi anak-anak pelarian. UNHCR dan NGO mencari peluang untuk golongan belia pelarian mempelajari kemahiran vokasional bagi membantu mereka menghadapi masa depan," kata Yante.

Selain itu, UNHCR telah menandatangani memorandum persefahaman dengan tiga institusi pengajian tinggi swasta, iaitu University of Nottingham Malaysia Campus, Limkokwing University of Creative Technology dan International University Malaya-Wales, bagi mendaftarkan 42 pelarian secara kolektif untuk mengikuti program-program sarjana muda.

Sedar pendidikan penting

Bagi seorang tenaga pengajar PIMA, Nuruljannah Oyong, 24, kanak-kanak Rohingya tekun belajar, ringan tulang dan mudah didisiplinkan.

Nuruljannah, yang merupakan lulusan Universiti Malaysia Sabah, berkata kanak-kanak Rohingya sedar akan kepentingan pendidikan, malah ibu bapa mereka juga sangat mengambil berat mengenai perkembangan pelajaran anak-anak mereka.

PIMA menganjurkan dua sesi pembelajaran iaitu dua kelas dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan dua kelas sesi petang mulai 12 tengah hari hingga 3 petang. Antara mata pelajaran yang diajar adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pengajian Tempatan dan beberapa subjek lain mengikut kurikulum pendidikan Malaysia.

"Pelajar di PIMA berusia antara enam dan 13 tahun. Kami cuba kekalkan mereka dalam alam 'persekolahan' seberapa lama mungkin. Mungkin apa yang kami buat tidak seberapa, tapi amat bermakna bagi masyarakat Rohingya," kata Pengerusi Muslim Aid, Habsah Marjuni kepada Bernama.

Persediaan masa depan

Walaupun kanak-kanak itu berada di negara ini untuk sementara, Habsah berharap pendidikan tidak rasmi itu sedikit sebanyak menyumbang kepada persediaan menghadapi masa depan di negara yang akan menerima keluarga mereka kelak.

Beliau berkata kebanyakan kanak-kanak itu berada dengan keluarga masing-masing tetapi ada juga daripada kalangan "unaccompanied minors" iaitu kanak-kanak yang tinggal dengan saudara mara setelah hampir menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Habsah berkata PIMA, yang mengenakan bayaran pendaftaran RM5, tidak mengenakan sebarang yuran dan diwujudkan di Kampung Ampang Tambahan yang mempunyai komuniti Rohingya di situ.

Muslim Aid membayar sewa dewan yang digunakan sebagai bilik darjah, gaji guru-guru, membeli peralatan menulis, membaca dan melukis serta keperluan aktiviti lain termasuk program-program melibatkan ibu bapa mereka.

Ketika ditubuhkan dua tahun lalu, terdapat 95 pelajar kesemuanya, tetapi 25 daripada mereka itu sudah di tempatkan ke negara-negara penerima. Kini terdapat 85 pelajar termasuk yang baru tiba ke negara ini beberapa bulan lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS