Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Penduduk Kuantan merungut. Lombong bauksit bukan sahaja mencemar pemandangan, malah mempengaruhi kesihatan dan nyawa mereka. Sebagai reaksi, mereka mendesak supaya kerajaan menangani perkara ini segera. Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan berkesan yang diambil.

Para cukong besar terus memunggah hasil mahsul bauksit ini demi keuntungan yang lumayan. Perniagaan ini tidak memerlukan modal besar, hanya dengan beberapa jentera serta sekeping surat kelulusan kerajaan negeri. Sekiranya terdapat kesan kepada manusia dan alam, itu bukan dalam perhitungan untung-rugi para cukong ini.

Sistem ekonomi lazimnya berfungsi atas untung-rugi. Kerana itu, sistem politik yang berfungsi atas nama kuasa menjadi harapan untuk membataskan kerakusan para cukong tersebut.

Malangnya, ahli politik nampaknya tidak terdaya untuk bertindak, sekalipun tempias perniagaan bauksit ini sudah mengugat kesihatan dan nyawa para pengundi mereka.

Oleh kerana sistem politik dari pihak kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik, maka ahli politik pembangkang cuba mewakili suara rakyat. Namun, sebagai pembangkang yang tidak mempunyai kuasa, tidak banyak yang dapat mereka dilakukan.

Persoalannya, kepada siapakah lagi rakyat dapat berharap? Jika sistem politik gagal menjadi harapan, maka di manakah lagi sumber harapan kita?

Kadang-kadang saya terfikir bahawa adalah lebih baik bumi ini segera musnah, dan seluruh manusia terkorban. Ini mungkin adalah baik untuk generasi kehidupan yang mendatang memulakan kembali kehidupan di dunia ini.

Malah, adalah lebih baik lagi sekiranya bumi ini tidak lagi mempunyai manusia, kerana tampaknya manusia gagal untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Manusia suka merosakkan dirinya, yang seterusnya memberi kesan pada alam. Kini alam sedang menanggung derita akibat keserakahan spesis yang bernama ‘homo sapien‘. Misalnya sungai dan pantai Balok di Kuantan telah merah akibat pencemaran dari industri bauksit ini.

Dalam mengenang hubungan antara alam dan manusia ini, saya menyedari bahawa manusia selalu beranggapan bahawa mereka dapat mengawal alam.

Manusia, kononnya, dapat menangani banjir dengan menyediakan kelengkapan banjir lebih awal. Manusia, kononnya, dapat mengawal pencemaran bauksit dengan mengarahkan lori-lori bauksit agar dibersihkan terlebih dahulu sebelum memasuki jalan raya.

Ini sekadar dua contoh mudah sahaja. Tapi, bagi saya, semua usaha ini adalah bersifat plastik dan penuh kepura-puraan.

Saya mengatakan begitu kerana semua usaha ini tidak mempertimbangkan hubungan yang berkait dan setara antara manusia dengan alam. Saya melihat cara terbaik untuk kita berkomunikasi dengan alam adalah dengan memikirkan bahawa alam juga hidup seperti manusia.

Sekiranya kita telah melihat tahap percemaran sudahpun mengugat kesihatan dan nyawa manusia, maka itu sebenarnya bermaksud bahwa alam sedang berkomunikasi dengan kita. Apabila kita merosakkan kelestarian alam, maka alam juga mampu bertindak balas dengan merosakkan kelestarian manusia.

Justeru itu, kita sebagai manusia perlu sedar bahawa kita bukanlah lebih agung dari alam. Kita dan alam adalah dua bentuk kehidupan yang berbeza, tapi saling memerlukan.

Segala perbuatan yang merosakkan keharmonian hubungan ini, maka itu bererti merosakkan kesemuanya sekali. Dalam erti kata yang lain: mencemar alam, bererti mencemar diri sendiri.

Lalu, sekiranya kesihatan dan nyawa bukan lagi soal penting, maka sudah tiba masanya manusia melepaskan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Mungkin spesis lain lebih layak memikul tanggungjawab ini.

Setidak-tidaknya dinosaur yang pernah menjadi spesis dominan di dunia selama 135 juta tahun dahulu tidak memusnahkan alam sedahsyat seperti mana yang dilakukan homo sapien dewasa ini.


DIAN ANAIS seorang penuntut Malaysia di Ireland.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS