AS disaman kerana didakwa beri sumbangan pada Israel

   

GLOBAL Satu tuntutan mahkamah telah difailkan di mahkamah Amerika Syarikat (AS) bagi menghalang kumpulan-kumpulan yang tidak menguntungkan daripada menghantar berbilion dolar wang sumbangan yang dikecualikan daripada cukai untuk menyokong penempatan haram Israel dan tenteranya.

Sekumpulan rakyat Amerika memfailkan saman itu pada 21 Disember terhadap Jabatan Perbendaharaan AS dan mendakwa kira-kira 150 daripada kumpulan tersebut telah memberi kira-kira USD280 bilion kepada Israel sejak dua dekad lalu.

Tuntutan itu mendakwa, sumbangan tersebut "diserahkan" dan "disalurkan" untuk menyokong tentera Israel dan penempatan haram yang dibuat di wilayah yang diduduki rakyat Palestin, lapor Al Jazeera .

Dalam kod Hasil Dalam Negeri Amerika Syarikat, pertubuhan-pertubuhan ini dikenal pasti sebagai "501(c)(3)" dan penderma diberikan status pengecualian cukai dan dibenarkan untuk menuntut potongan cukai ke atas "hadiah" yang diberikan.

Sheldon Adelson, seorang hartawan kasino AS dan beberapa ahli perniagaan pro-Israel yang kaya dipilih dalam tuntutan mahkamah itu sebagai penderma tetapi bukan sebagai defendan.

Jabatan Perbendaharaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai saman itu dan di dalam emel kepada Al Jazeera mereka menyatakan:

"Kami tidak mengulas mengenai tindakan undang-undang yang belum selesai".

Seorang warganegara Palestin-Amerika, Susan Abulhawa-penulis dan aktivis hak asasi manusia yang meletakkan nama beliau di muka surat ke 73 dalam saman tersebut berkata, saman itu adalah untuk mencari keadilan bagi rakyat Palestin.

"Saya mahu organisasi yang membantu Israel dipaksa membayar pampasan kepada mangsa-mangsa yang terkesan daripada tindakan mereka," kata Abulhawa.

Selain itu, tuntutan tersebut mendakwa kumpulan yang tidak menguntungkan itu secara langsung menyumbang kepada pelanggaran undang-undang Amerika Syarikat dan undang-undang antarabangsa, menjatuhkan maruah dasar luar Amerika Syarikat dan menyumbang kepada jenayah yang tidak terkira banyaknya serta pencabulan hak asasi manusia yang mensasarkan rakyat Palestin.

"Sekurang-kurangnya selama 30 tahun, pembayar cukai AS telah membiayai dan/atau memberi subsidi kegiatan jenayah di luar negara seperti pembunuhan, pembakaran, memusnahkan harta dengan niat jahat, serangan dan memukul serta pembersihan etnik dan melakukan keganasan antarabangsa," kata saman tersebut.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In