Husam hadir di pentas AMANAH, tapi kekal PAS
Walaupun berbeza parti politik, namun bekas presiden PAS Datuk Husam Musa yakin tindakannya yang hadir pada majlis makan malam anjuran Parti Amanah Negara (AMANAH) malam tadi "direstui" partinya.
Malah, Husam secara sinis juga berkata, "restu" itu akan diperoleh memandangkan PAS kini dilihat terbuka dengan membenarkan pertemuan bersama parti lain terutamanya dalam isu nasihat-menasihati.
"Saya bernasib baik kerana presiden saya telah buat satu ketetapan bahawa hadir dalam majlis pihak bertentangan diizinkan sebagaimana hadirnya presiden saya yang satu pentas dengan presiden Umno.
"Lebih-lebih lagi dalam semangat nasihat-menasihati. Tetapi saya yakin akan dapat restu dari presiden dan parti kerana tindakan saya selari dengan presiden.
"Saya juga menunjukkan saya seiiring dan setia pada parti," katanya semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran AMANAH Kelantan di Petaling Jaya malam tadi.
Turut hadir pada majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 1,000 orang itu ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta beberapa pimpinan DAP yang lain.
Musa juga runtuhkan firaun
Malah, secara berseloroh, ADUN Salor itu juga yakin bahawa beliau tidak akan dipecat oleh PAS kerana kehadirannya ke majlis tersebut memandangkan parti Islam itu merupakan sebuah parti yang adil dan baik.
"Parti saya parti adil, baik. (PAS) tidak akan pecat saya datang (kerana) ceramah dan nasihat tuan-tuan di sini," kata Husam.
Kehadiran Husam malam tadi merupakan kali pertama beliau hadir ke majlis anjuran AMANAH.
Justeru itu, Husam berkata selepas ini beliau akan terus memberikan "nasihat" bagi memastikan masyarakat bersatu untuk menumbangkan BN-Umno.
Menurutnya, beliau selepas ini akan bersama-sama pimpinan Pakatan Harapan dalam siri jelajah mereka bagi memberi penerangan kepada masyarakat.
"Ini pendirian saya. Kalau Umno degil, presiden (PAS) kena bagi nasihat, takkanlah bekas rakan kita DAP kita tak boleh nasihat. Jadi saya akan ke Kluang esok bersama Lim Kit Siang untuk beri nasihat kepada rakyat untuk bersatu hadapi rejim Umno-BN," katanya.
Selain itu, dengan memberi contoh tentang kisah Nabi Musa menjatuhkan kerajaan Firaun di Mesir, bekas exco Kelantan itu berkata, pada ketika itu Musa bukan sahaja menasihati Firaun tetapi memastikan kerajaan itu juga runtuh.
"Sebagaimana Musa berjaya runtuhkan rejim Firaun yang lebih kuat, takkanlah rejim BN yang tak sekuat Firaun tak boleh. Insya-Allah kita boleh berjaya robohkan," katanya.
Sementara itu, sebelum beliau menyampaikan ucapan, Husam ditanya oleh Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah serta hadirin yang mempersoalkan bila beliau akan menyertai parti itu.
Balik pada visi Nik Aziz
Oleh itu, beliau mengambil kesempatan ketika berucap untuk menegaskan pendiriannya sekali lagi bahawa tidak akan menyertai AMANAH.
"Saya tak masuk AMANAH, saya PAS. AMANAH jangan kecewa. Panjang lagi masa. Saya dengan PAS.
"Saya cuma berdoa agar PAS balik pada misi dan visi (Datuk) Nik Aziz. Jangan hancurkan. Bukan mudah apa yang PAS dah capai sekarang ini," ujarnya lagi.
Pada Disember tahun lalu, Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang julung kali diadakan dilihat sebagai bagi merintis jalan ke arah kerjasama PAS dan Umno.
Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenakan pakaian sedondon dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam majlis itu, Najib menawarkan hubungan kerjasama Umno bagi membentuk hubungan rapat dengan PAS dengan memetik ayat al-Quran tentang kepentingan perpaduan.
Bagaimanapun di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, beberapa pimpinan lain seperti Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abd Samad dilihat tidak bersetuju ke arah kerjasama dua parti berkenaan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
