Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanya untuk mendapatkan keuntungan menggunakan agama Islam.
Justeru, katanya Malaysia Airlines (MAS) tidak perlu untuk mengikut jejak langkah syarikat penerbangan baru itu, lapor FMT News .
“Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam. Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam.
“Tidak payah (ambil tindakan yang sama seperti Rayani Air). Saya tengok, syarikat Arab Saudi pun tidak ada konsep patuh Syariah. Kenapa kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari orang lain,” katanya sewaktu wawancara eksklusif bersama FMT.
Bekas perdana menteri juga menyentuh dakwaan MAS menghidangkan arak kepada penumpang-penumpangnya, seperti keluhan dibangkitkan mufti Perlis Datuk Dr Mohd Zainul Abidin sebelum ini.
“Tidak ada. Tidak hidang alkohol lagi. MAS lama sudah berhenti. Benda itu sebenarnya tidak patut timbul. Negara Islam dan penduduknya 100 peratus Islam juga tidak suruh buat macam itu (henti hidang alkohol sewaktu penerbangan).
“Kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari mereka. Orang yang tidak pakai tudung pun Islam juga. Orang yang buat dosa juga Islam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya kata orang itu tidak Islam. Adakah melayan penumpang dengan tudung menunjukkan kita lebih Islam?” soalnya.
Pemilik Rayani Hindu, kata Dr M
FMT melaporkan Rayani mempunyai 355 kakitangan, lapan juruterbang dan 50 anak kapal dan namanya gabungan nama pemiliknya iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.
“Yang itu kita dapati pula pemiliknya orang Hindu. Jadi orang Hindu yang patuh kepada agama Islam pun ada jugalah.
“Dia dapat keuntungan daripada agama Islam,” katanya seperti disiarkan dalam video portal itu.
