Hampir tiga tahun selepas kes pencerobohan kumpulan Sulu di Lahad Datu Sabah, polis semalam menemui tujuh senjata api dan 137 butir peluru hidup berdekatan kawasan yang pernah mencatatkan sejarah hitam itu.
Senjata dan peluru terbabit dijumpai oleh sepasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melakukan rondaan 'Ops Taring' di kawasan Tanduo di Felda Sahabat, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata senjata api dan peluru tersebut ditemui ditanam dalam sebuah karung pada 1 tengah hari.
Bernama melaporkan, jentera pengorek digunakan untuk mengeluarkan karung mengandungi lima pucuk pistol berserta tiga kelopak, dua laras M14 berserta dua kelopak, 173 butir peluru hidup dan satu gari.
"Anggota PGA dari Komtek Sahabat 16 dan Pos Tanjung Labian menemui senjata api dan peluru tersebut," katanya hari ini.
Hamzah berkata semua barang tersebut telah diserahkan ke Balai Polis Cenderawasih Felda Sahabat untuk tindakan.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut mana-mana pihak yang disyaki menanam senjata api dan peluru berkenaan.
Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh pada 1 Mac 2013 ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.
Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.
Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh semasa bertempur.
