Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas kejadian 'laut merah' di Pantai Batu Hitam, Kuantan hari ini dikejutkan dengan satu lagi misteri alam sekitar apabila ribuan ikan ditemui mati di beberapa sungai di Pahang.

ADUN Berserah Andansura Rabu memberitahu Malaysiakini ini adalah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di Sungai Tonggak.

“Beribu-ribu ikan mati dan terdampar sepanjang tiga hingga empat kilometer dari hulu sungai sampai ke laut,” kata pemimpin PAS itu.

Menurutnya, apa yang menyebabkan kematian ikan itu pada masa ini tidak diketahui.

Andansura berkata sungai itu mengalir dari kawasan industri di mana kilang-kilang kimia didirikan.

Selain itu, katanya, terdapat juga simpanan bauksit di kawasan berkenaan.

“Sama ada ia datang dari sisa kilang-kilang atau dari bauksit atau ada orang racun, kita tak pasti mana satu puncanya,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perikanan telah mengambil sampel ikan yang mati untuk menentukan punca tersebut.

Andansura berharap pihak berkuasa akan mengeluarkan arahan supaya tidak membenarkan orang ramai daripada menggunakan sungai atau memancing di sungai itu kerana ia boleh menjadi berbahaya.

Misteri ikan mati timbul sehari selepas Pantai Baru Hitam, Kuantan bertukar menjadi merah, didakwa akibat pencemaran bauksit.

Konsortium Pelabuhan Kuantan Sdn Bhd (KPC) menafikan bahawa 'laut merah' di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam Kuantan disebabkan aktiviti perlombongan bauksit.

Ini kerana sungai yang menghala ke laut di dua kawasan itu tidak bersambungan dengan Sungai Pengorak.

Ikan belanak pun mati

Sementara itu, Bernama melaporkan penduduk Kampung Seberang Balok Makmur hari ini, gempar dengan penemuan ratusan ikan belanak yang mati di Sungai Balok Makmur dan Sungai Tonggak di Kuantan.

Pengusaha kedai makan di kampung itu, Khairul Azmi Yahya, 30, berkata, beliau menyedari ratusan ikan itu dihanyutkan arus sungai dan terdampar di tebing sungai pada pukul 7 pagi semasa hendak memulakan perniagaan.

“Saya pelik kerana banyak objek putih terapung di sungai dan apabila dihampiri, ia sebenarnya ikan belanak.

“Saya hairan kenapa ikan belanak sahaja yang mati sedangkan spesies ikan ini diketahui mempunyai daya ketahanan yang tinggi,” katanya, hari ini.

Khairul Azmi menambah, ramai penduduk kampung yang ingin ke tempat kerja berhenti untuk melihat dan mengambil gambar fenomena itu.

Beliau berkata, jumlah ikan itu bagaimanapun sudah berkurangan pada waktu tengah hari kerana telah dibawa arus ke hilir sungai.

Bau busuk

“Saya harap punca kematian ikan dapat dimaklumkan kepada penduduk kerana ada kawasan perindustrian di sekitar sungai ini. Bimbang jika disebabkan bahan kimia yang mungkin boleh membahayakan kesihatan penduduk atau kanak-kanak yang bermain air di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga makanan di situ, Rafizah Abdul Rahman, 25, berharap semua ikan itu dibawa arus semasa air pasang malam ini, kerana tidak mahu bau busuk mengganggu keselesaan pelanggan dan penduduk kampung.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan kematian ikan itu dan telah mengambil sampel ikan berkenaan untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kami telah mengambil sampel air dan menguji beberapa parameter seperti kadar oksigen terlarut, tahap kekeruhan air dan nilai pH air di kawasan terbabit,” katanya.

Adnan menambah, kejadian itu bukan berlaku dalam jumlah yang besar kerana hanya melibatkan satu spesies ikan sahaja dan berlaku di satu tempat sahaja.

Lihat Komen
ADS