Model terkenal, Zahnita Wilson percaya wujud penyalahgunaan kuasa oleh Jabatan Imigresen dalam pemberian pasport baru terhadap dua anak sedangkan pasport asal dalam simpanannya.
Katanya, suami beliau, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor membawa dua anak mereka ke Phuket, Thailand tanpa pengetahuannnya dan adalah mustahil pasport baru dikeluarkan tanpa sebarang dokumen peribadi.
"Kenapa pasport baru dikeluarkan dengan senang tanpa dokumen sah anak-anak saya atau pun laporan polis jika didakwa pasport hilang.
"Sebab sudah tentu ada polisi sepatutnya dan saya ingin ia diperketatkan pada masa akan datang," katanya pada satu sidang akhbar hari ini.
Sidang akhbar itu adalah anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas Zahnita membawa aduannya kepada NGO itu.
Aktivis PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar berkata usahanya mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu juga menemui jalan buntu.
Menurutnya, pihak PPIM juga hanya diberitahu perkara tersebut akan 'dipanjangkan kepada pihak atasan'.
"Sebelum ini Zahnita cuba berhubung dengan pihak imigresen meminta penjelasan bagaimana pasport baru boleh dikeluarkan.
"Bila Zahnita pergi ke imigresen, pihak sana (Imigresen) ada beri akujanji (jaminan) akan tahan bapa dan anak bila masuk kembali ke negara ini tapi itu pun tidak berlaku," tambahnya.
Sehubungan itu NGO tersebut menggesa pihak berkuasa termasuk Ketua Pengarah Jabatan Imigresen menyiasat perkara ini dengan segera.
Proses bercerai
Dua anak Zahnita dibawa ke Phuket pada 2 Disember oleh suaminya dan kembali ke tanah air lebih kurang seminggu selepas itu.
Beliau dan suami dilaporkan kini berada dalam proses penceraian dan hak penjagaan anak masih belum ditentukan oleh pihak mahkamah syariah.
Menurut Zahnita, beliau hanya mendapat tahu perkara ini selepas menerima panggilan telefon daripada dua anaknya yang pada masa itu masih berada di Thailand.
Zahnita dalam masa sama meluahkan kebimbangannya terhadap insiden seperti ini yang berisiko untuk mengundang jenayah termasuk pemerdagangan manusia.
Malaysiakini sedang menghubungi Jabatan Imigresen bagi mendapatkan reaksi mereka.
