Makanan halal dihantar kepada mangsa tsunami di Thailand
Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teras dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) telah bergabung tenaga untuk menghantar sebuah pasukan ke Thailand untuk membantu mangsa tsunami yang separuh daripadanya beragama Islam.
Setiausaha Teras, Ahmad Tarmizi Sulaiman memberitahu malaysiakini , pasukan lapan orang itu yang diketahui oleh penyelaras bahagian halehwal pengguna Teras, Roslan Ali dan wakil Abim di Kedah, Zaki Bakar, akan berlepas ke kawasan terbabit hari ini untuk membawa makanan halal kepada masyarakat Islam di sana yang menurutnya amat sukar diperolehi sekarang.
"Teras mendapat tahu mengenai masalah ini melalui kawan-kawan dalam Persatuan Belia Islam Thailand dan kami telah melawat mereka minggu untuk melihat situasi di sana.
"Kami ke Phuket, Phng Nga serta Krabi dan mendapati makanan halal sukar diperolehi di sana. Sebahagian besar mereka lebih suka diberi periuk belanga, daripada makanan, supaya mereka dapat memasak sendiri," tambahnya.
Menurutnya lagi, masyarakat Islam di sana juga meminta bantuan pakaian bagi wanita Islam seperti tudung dan telekung kerana pakaian yang diderma, tidak sesuai untuk mereka pakai.
"Selain makanan halal seperti mi segera dan biskut, pasukan itu juga akan membawa bersama kutipan derma yang berjumlah RM15,000, pakaian untuk wanita dan air botol," katanya.
Lebih banyak bantuan
Ahmad Tarmizi berkata, bantuan itu mungkin tidak mencukupi untuk semua mangsa yang bakal mereka lawati di wilayah of Ranong (terletak di tanah besar Thai, yang bersempadan dengan Burma dan berhadapan dengan Laut Andaman), Phuket, Phng Nga dan Krabi.
"Bagaimanapun, kami berharap dapat membawa lebih banyak bantuan dalam lawatan kami seterusnya. Kami berdoa agar lebih ramai yang tampil menghulur sumbangan. Semua sumbangan akan disimpan dalam akaun Tabung Bantuan Kemanusiaan Teras bagi Mangsa Tsunami" di Bank Islam. Nombor akaun tersebut ialah 2020010021351."
Mengenai program pasukan itu sepanjang lawatan tersebut, beliau berkata, mereka akan memandu ke Krabi - yang terletak sejauh lapan jam perjalanan dari Kedah.
"Program mereka bermula di Krabi, di mana majoriti penduduknya beragama Islam, sebelum mereka menaiki bot pada hari berikutnya untuk melawat pusat-pusat pemindahan di Phuket dan kawasan lain yang terlibat. Kami diberitahu ada sedikit bantuan yang telah sampai ke Krabi walaupun ia adalah antara kawasan paling teruk dilanda tsunami. Saya diberitahu, di sebuah kampung, hanya 10 orang sahaja yang terselamat," katanya.
Menceritakan pengalamannya sewaktu lawatan empat hari ke Phuket dan kawasan lain yang terbabit, termasuk Phng Nga dan Pulau Phi Phi, Ahmad Tarmizi berkata, penduduknya mengadu mengenai layanan berat sebelah yang mereka terima daripada kerajaan Thailand.
Angka sebenar dirahsiakan
"Sama ada mereka beragama Islam atau Buddha, mereka semua mendakwa kerajaan telah mendiskriminasikan mereka dengan hanya menumpukan kepada pembangunan semula pusat-pusat pelancongan, manakala tidak usaha bersungguh-sungguh untuk membina semula rumah mereka yang rosak," katanya.
Walaupun seorang gabenor tempatan telah menafikan dakwaan tersebut yang dilaporkan dalam media Thailand, Ahmad Tarmizi berkata pengalaman peribadinya semasa di Phuket menunjukkan sebaliknya.
"Saya telah melawat kampung-kampung terbabit dan pelbagai kem pemindahan, di mana keadaan penghuninya amatlah menyedihkan. Saya dapat melihat penduduk dibiarkan menjaga diri mereka sendiri," tambahnya.
Menurutnya, mereka juga marah dengan pihak kerajaan kerana cuba menyembunyikan jumlah sebenar korban bencana tsunami.
"Angka rasmi ialah di sekitar 5,000 orang manakala penduduk tempatan mendakwa jumlah korban di Krabi sahaja ialah 8,000 orang," tambahnya.
Ahmad Tarmizi juga merayu untuk mendapat sumbangan supaya lebih banyak bantuan dapat dihantar kepada mangsa tsunami di Thailand.