Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS tidak akan menyerahkan satu pun kerusi yang ditandinginya kepada parti pembangkang lain dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menganggap ia adalah "maruah parti" Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum ini parti itu berkali-kali menyerahkan kerusi yang ditandinginya kepada parti rakan setiap kali melakukan tahaluf siyasi (kerjasama politik).

Katanya PAS bersikap berlapang dada dengan kerjasama itu seperti dibuktikan dalam pilihan raya sebelum ini.

“Setiap kali PAS mengadakan tahaluf , PAS berlapang dada. (Apabila) kita bekerjasama dengan Semangat 46, PAS serahkan kerusi PAS kepada Semangat 46.

“Bahkan di masa kerjasama dengan Parti Negara, PAS serahkan kerusi kepada Parti Negara, dan apabila bergabung dengan PKR (melalui Pakatan Rakyat), PAS serahkan jentera (kerana) tahaluf .

“Hari ini mereka minta PAS bekerjasama dengan gabungan baru (Pakatan Harapan) - maksudnya mahu kerusi PAS. Ia tidak akan berlaku. Kita tidak akan serah satu pun kerusi kita.

"Kerusi yang ditandingi adalah maruah parti,” katanya di majlis penutup Ijtima’ Pilihan Raya Selangor di Kuala Selangor hari ini.

Semalam, AMANAH yang merupakan parti serpihan PAS bersama PKR dan DAP memeterai perjanjian kerjasama Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU ke-14.

Tebus 'dosa' masa lalu

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata PAS bersedia untuk berhadapan dengan Umno satu lawan satu sekiranya parti Islam itu tidak diganggu parti pembangkang lain.

Katanya, beliau ditanya tentang gagasan parti itu di Selangor.

"Saya tegaskan (ia adalah) satu lawan satu dengan Umno selagi mana mereka (parti lain) tak mengganggu.

"Kalau kita (PAS) digempur (parti pembangkang lain), kita akan (melawan semula),” katanya kepada lebih 6,000 ahli PAS yang hadir.

Tuan Ibrahim turut menambah, rakyat di negara ini perlu mengundi PAS bagi "mengampunkan dosa ibu bapa" yang mungkin tersalah memilih pemimpin terdahulu.

“Kita menang di Selangor, di Kelantan (dan seterusnya) menawan Putrajaya, untuk apa kita menang?

“Untuk Allah ampunkan dosa kita yang dulu dan sekarang, dosa tok ayah kita yang dulu mungkin silap pilih pemimpin.

“Kedua, Allah janji kalau dengan kemenangan Islam kita akan rasa nikmat sempurna Islam, nikmat kestabilan ekonomi, nikmat kepimpinan, nikmat agihan kekayaan di kalangan rakyat, nikmat keamanan, nikmat perlaksanaan hukum Allah dan undang-undang, semua ini nikmat yang tidak rasa selama ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS