Moody’s semak penarafan Malaysia kepada stabil

   

Agensi Penarafan Antarabangsa, Moody's Investors Service hari ini mengesahkan penarafan bon tidak bercagar senior dan penerbit Kerajaan Malaysia pada A3 dan menukar prospek kepada stabil daripada positif.

Dalam satu kenyataan, Moody's berkata ia juga mengesahkan penarafan tidak bercagar senior A3 kepada sijil amanah dolar AS yang diterbitkan oleh Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, perantara tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan Malaysia.

Moody's berkata sijil amanah ini dianggap obligasi langsung kerajaan Malaysia dan penarafan ini secara automatik mencerminkan perubahan kepada penarafan negara Malaysia.

Mengenai langkah penarafan, Moody's mengesahkan penarafan instrumen bagi hutang tidak bercagar senior yang diterbitkan Khazanah Nasional Bhd pada A3.

Kerajaan Malaysian menjamin instrumen ini.

Moody's berkata keputusan untuk menstabilkan penarafan bon kerajaan Malaysia pada A3 berbanding A2 mengimbangi kesan negatif perubahan dalam persekitaran luar pertumbuhan Malaysia, imbangan luar dan rizab sejak penarafan prospek positif pada November 2013, bersama-sama risiko yang muncul daripada ketidakseimbangan domestik sedia ada, berbanding kesan positif pengukuhan fiskal yang dilihat sejak itu.

Prospek positif kepada penarafan bon kerajaan Malaysia mencerminkan pandangan Moody's bahawa peningkatan berterusan dalam lembaran imbangan kerajaan yang boleh meningkatkan lagi asas Malaysia.

Sejak tempoh berkenaan telah menyaksikan pengukuhan fiskal,termasuk melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi bahan api, katanya.

Bagaimanapun, agensi penarafan itu berkata kesan ke atas lembaran imbangan kerajaan telah, dan akan terus menjadi terhad.

"Sebahagiannya mencerminkan perubahan dalam persekitaran luaran yang telah mengurangkan hasil kerajaan dalam tempoh tersebut. Perubahan persekitaran itu juga telah melemahkan kedudukan luar negara Malaysia, dengan aliran keluar modal yang besar, penurunan lebihan akaun semasa, penyusutan ketara nilai kadar pertukaran dan pengurangan rizab.

Bagaimanapun, penurunan nilai mata wang mungkin memberi risiko kenaikan inflasi dalam tempoh terdekat ini, di samping hanya menyediakan sokongan terhad kepada eksport disebabkan permintaan luar yang lemah.

Pemacu kedua perubahan prospek ialah peningkatan risiko yang disebabkan oleh keadaan hutang sektor swasta yang tinggi dalam persekitaran pertumbuhan perlahan.

Sejak 2009, hutang isi rumah meningkat lebih 15 mata peratusan KDNK kepada kira-kira 87 peratus pada akhir 2014, paras yang sama dengan ekonomi lebih maju dan berpendapatan tinggi.

Pengumpulan hutang isi rumah perlahan tahun lepas, disebabkan terutamanya langkah-langkah berhemat yang diperkenalkan bank pusat.

Hutang korporat tidak berkembang secepat hutang isi rumah tetapi kekal pada paras tinggi berbanding pasaran sedang pesat membangun yang diberi penarafan yang sama.

Walaupun lembaran imbangan agregat isi rumah dan sektor korporat terus memiliki penampan aset yang mencukupi, pertumbuhan ekonomi perlahan dan penyejukan harga aset - terutamanya dalam pasaran hartanah dan ekuiti - boleh menjejaskan keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang.

Seterusnya, ini boleh membawa kepada malahan sokongan yang lebih terhad kepada pertumbuhan ekonomi daripada penggunaan dan pelaburan kediaman.

"Bagaimanapun, kami menjangka sistem perbankan terus mampu bertahan dengan potensi penurunan nilai kualiti aset," kata agensi penarafan itu.

Walaupun Malaysia dijangka mengekalkan penstabilan fiskal bagi tahun keenam tahun berturut-turut pada 2015 - tempoh paling lama dalam kalangan negara yang diberi penarafan A - ia tidak membawa kepada penambahbaikan ketara dalam nisbah hutang kerajaan.

Defisit fiskal mengecil dalam setiap enam tahun lalu kepada jangkaan 3.2 peratus daripada KDNK pada 2015 daripada 6.5 peratus, tetapi terus melebar berbanding negara-negara setara lain.

Justeru itu, beban hutang kerajaan telah stabil di bawah paras had hutang yang ditetapkan sendiri, 55 peratus daripada KDNK, bagaimanapun ia belum mencatatkan aliran menurun berterusan.

"Pengurangan defisit banyak dipacu oleh pengukuhan perbelanjaan, sebahagiannya adalah tindak balas kepada tekanan harga minyak ke atas pendapatan, pada 2016, kami menjangkakan perolehan kerajaan persekutuan susut kepada paras terendah sejak 2000.

"Sebagai kesannya, kemampuan hutang terus bertambah buruk dengan nisbah pembayaran faedah ke atas pendapatan adalah kekal pada paras lebih dua kali ganda median berkadar A.

"Walaupun, ruang fiskal semakin dikekang oleh pertumbuhan pendapatan yang kurang memberangsangkan, komitmen kerajaan untuk mencapai matlamat bajet seimbang menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam perancangan lima tahun terbarunya, Rancangan Malaysia Kesebelas, akan terus diuji oleh permintaan untuk menyokong ekonomi yang perlahan," menurutnya.

Sebagai tambahan, peningkatan risiko luar jangka terhadap lembaran imbangan kerajaan yang ditunjukkan oleh kenaikan berterusan hutang dijamin secara jelas, yang berkembang sebanyak 15.1 peratus daripada KDNK setakat pada separuh pertama 2015 daripada 11.8 peratus pada 2010.

Menurut Moody's, mengenai rasional bagi pengesahan penarafan A3 pula, Malaysia mengharungi tekanan pada tahun lepas dengan banyak sebahagian besar asasnya kekal utuh.

Walaupun harga komoditi rendah, sentimen lemah perniagaan dan pengguna serta pertumbuhan suram rakan dagangan terbesar negara menimbulkan risiko penurunan penting dalam permintaan eksport dan domestik, Moody's menjangkakan Malaysia akan terus berkembang pantas berbanding negara-negara berkadar A pada tahun ini dan dalam jangka sederhana.

Kestabilan makroekonomi adalah berlandaskan kredibiliti bank pusat kerajaan, Bank Negara Malaysia, yang menunjukkan prestasi kukuh dengan pengekalan inflasi rendah dan sistem perbankan yang stabil.

Prestasi inflasi Malaysia menyokong penilaian Moody's terhadap keteguhan institusi negara itu.

Penarafan kedaulatan Malaysia turut terus disokong oleh struktur hutang kerajaan yang baik dan tahap pasaran modal dalam negara, kedua-duanya mengurangkan kesan akaun modal dan turun naik kadar pertukaran.

Pada akhir September 2015, liabiliti yang didenominasi mata wang asing hanya mewakili 3.6 peratus daripada jumlah hutang kerajaan, sekaligus dapat mengelak risiko kadar tukaran asing bagi tujuan pembayaran semula hutang.

Ketika kumpulan bukan warganegara terus mewakili satu pertiga daripada hutang kerajaan, kalangan pelabur institusi utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya kekal menjadi sumber bagi pembiayaan domestik.

Malah, bagi aspek yang boleh menentukan turun naiknya penarafan, Moody's turut menyifatkan unjuran stabil Malaysia itu memaparkan risiko positif dan negatif yang seimbang.

Namun demikian, tekanan bagi peningkatan penarafan negara itu berkemungkinan hasil pelaksanaan langkah untuk memberi tumpuan utama terhadap aspek metrik hutang dengan rakan negara lain yang sama penarafannya beserta penambahbaikan bagi kemampuan hutang dan pengurangan defisit fiskal.

Sebaliknya, kata agensi penarafan itu, prestasi dinamik hutang Malaysia yang lebih buruk - mungkin akibat ketidakupayaan mengurus impak atau kesan penyusutan harga minyak mentah dan komoditi pertanian terhadap akaun fiskal atau penjualan dan pembelian kelompok besar liabiliti, juga boleh memberi tekanan bagi semakan turun penarafan berkenaan.

Selain itu, kata Moody's, had maksimum bon mata wang asing (FC) jangka panjang Malaysia tidak berubah pada A1 manakala had maksimum deposit FC bagi jangka panjang adalah A3.

Had maksimum bon FC jangka pendek Malaysia juga kekal pada P-1 dan had maksimum deposit FC jangka pendek pula disemak turun kepada P-2 daripada P-1, sebelum ini.

Paras atau had maksimum itu berperanan sebagai penampan bagi penarafan yang merujuk kepada obligasi entiti berbanding kerajaan yang domisil dalam negara.

Menurut Moody's, had maksimum risiko mata wang tempatan (LC) tidak berubah pada A1.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In