Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

“Google saja”... adalah ungkapan yang lazim kita dengar apabila seseorang ingin mengetahui sesuatu maklumat.

Apabila mencari maklumat, gunakan Google; hendak memasak, Google resepi; mencari lokasi, Google peta sehinggakan apabila tidak sihat, Google, aplikasi pencarian yang wujud sejak 1998, turut menjadi rujukan.

Kebergantungan terhadap Google sukar disangkal, sama ada mencari maklumat asas sehinggalah kepada yang memerlukan kepakaran, Google “ada jawapannya”.

Persoalannya, apakah semua jawapan itu tepat? Mungkin maklumat mengenai pelancongan, cuaca atau resepi boleh membantu, namun bagaimana pula dengan maklumat perubatan atau kesihatan?

Pengguna perlu sedar bahawa tidak semua maklumat daripada Google boleh diterima pakai sewenang-wenangnya. Ia berkemungkinan boleh mengundang kemudaratan.

Mengulas perkara itu, Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia (MDC) Dr Muhammad Hakim Nordin berkata dalam konteks kesihatan, seseorang individu mungkin merasakan tidak perlu lagi mendapatkan nasihat serta konsultasi doktor mengenai penyakit yang dihidapi kerana telah mendapat mendapat maklumat hasil pencarian Google.

Hanya dengan menaip beberapa kata kunci seperti demam atau sakit sendi, beliau berkata pelbagai kemungkinan penyakit berkaitan gejala yang dialami akan disenaraikan oleh Google, termasuk penyakit-penyakit serius serta langkah-langkah pencegahannya.

"Perkara ini lazimnya akan mengundang kebimbangan kepada pesakit, terutamanya apabila senarai itu merangkumi kanser atau beberapa penyakit serius lain.

"Perlu diingat bahawa hanya senarai penyakit popular dapat dicari dalam Google dan ia tidak semestinya relevan kepada pesakit berkenaan," katanya kepada Bernama.

Dr Muhammad Hakim berkata isu doktor Google telah lama diperkatakan di kalangan profesional perubatan sedunia dan kini semakin parah apabila masyarakat mulai mempertikai rawatan doktor.

Justeru, timbul keraguan seseorang pesakit terhadap rawatan yang diberikan kerana mereka telah terlebih dahulu mendapat maklumat penyakit serta pencegahannya daripada Google.

"Sering kali timbul masalah pada peringkat rawatan, apabila orang ramai mempersoalkan keputusan serta rawatan doktor berikutan telah terlebih dahulu merujuk pelbagai maklumat mengenai penyakit berkaitan, punca serta rawatan yang sesuai.

"Ini berlaku hampir setiap hari di pelbagai peringkat fasiliti kesihatan, sama ada kerajaan ataupun swasta. Permasalahan ini merupakan perkara serius kerana kepercayaan masyarakat terhadap maklumat daripada Internet lebih kuat berbanding nasihat konsultasi, pemeriksaan dan pelbagai ujian, keputusan serta rawatan doktor," katanya.

Beliau berkata rawatan yang diterima pesakit juga akan terganggu sekali gus boleh menyumbang kepada perhubungan tidak sihat antara doktor dan pesakit yang pada asasnya terjalin berlandaskan kepercayaan dan hormat.

"Akhirnya pesakit mungkin tidak akan dapat dirawat dengan baik, malah sekiranya ia penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi atau pun kencing manis (diabetes), ia boleh menyumbang kepada peningkatan insiden penyakit kronik di negara ini," katanya.

Dr Muhammad Hakim menjelaskan simptom seperti selesema, sakit sendi, muntah serta cirit-birit yang lazimnya berpunca daripada jangkitan virus, juga berkemungkinan menjadi simptom bagi jangkitan demam denggi.

"Jika lambat dikesan, penghidap demam denggi akan berisiko mendapat denggi berdarah. Harus diketahui tafsiran sesuatu penyakit itu bukan sahaja berlandaskan simptom-simptom malah pemeriksaan, ujian-ujian makmal, latar belakang penyakit dan pelbagai faktor lain termasuklah pengalaman doktor terbabit.

“Salah tafsiran oleh individu yang tidak mempunyai pengalaman mampu meningkatkan risiko penyakit menjadi lebih serius atau kronik. Maka, tafsiran sesuatu penyakit hendaklah dilakukan oleh individu yang lebih berilmu, malah lebih penting, berpengalaman seperti seorang doktor," katanya.

Dr Muhammad Hakim berkata sebarang input atau maklumat Internet perlu ditapis kerana kesahihannya boleh dipertikaikan.

Kebanyakan penulis informasi kesihatan bukanlah daripada bidang kesihatan seperti kedoktoran, pakar nutrisi atau kejururawatan, malah mungkin tidak pernah terdedah kepada pengalaman berkaitan sektor kesihatan.

"Maklumat yang ditulis mungkin berdasarkan pengalaman sendiri, rakan-rakan atau keluarga yang merupakan testimoni lemah untuk dijadikan bahan rujukan yang sahih.

"Bahan rujukan yang baik dan boleh dipercayai lazimnya berteraskan rujukan-rujukan perubatan umpamanya PubMed Health, British Medical Journal (BMJ), New England Journal of Medicine, yang mana inputnya sentiasa dikemas kini berdasarkan kajian-kajian baharu oleh pihak-pihak yang diiktiraf," katanya.

Tidak menyangkal akan kecenderungan orang ramai mempercayai bahan-bahan yang viral di laman media sosial, Dr Muhammad Hakim berpendapat: "Ia satu sikap kurang bertanggungjawab dan boleh menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu."

Beliau mengingatkan bahawa laman media sosial adalah landasan untuk manusia berkomunikasi dan seharusnya tidak dijadikan bahan rujukan termasuk juga Google.

"Kita harus lebih arif dalam mentafsir maklumat yang tersebar dan mendapatkan pengesahan daripada pakar," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS