Pemuda PAS bantah Shahrir dilantik pengerusi PNS
Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan perlantikan Datuk Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memberi kesan tidak baik terhadap tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.
Serentak dengan itu, ketuanya Salahuddin Ayub mendesak kerajaan mengkaji semula perlantikan tersebut atau Shahrir sendiri yang melepaskan jawatan sebagai pengerusi PAC.
"Shahrir seharusnya bertindak dengan bermaruah, seperti beliau pernah bertindak pada 1988 ketika meninggalkan Umno dan meletak jawatan sebagai menteri dan Ahli Parlimen Johor Baru untuk membuktikan penyelewengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Beliau berkata, sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap ketelusan kerajaan tidak wajar beliau mempunyai kepentingan dalam mana-mana agensi kerajaan.
"Secara logiknya sukar untuk kita bersikap tidak memihak kepada sesuatu agensi yang kita mendapat manfaat daripadanya," katanya dalam satu kenyatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin melantik Shahrir yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) sebagai Pengerusi PNS, sebuah agensi kementerian tersebut berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Salahuddin berkata, Pemuda PAS melihat perlantikan tersebut lebih berbau politik setelah Shahrir tidak mempunyai kedudukan yang selesa dalam kerajaan.
Kesilapan lalu
Mohamed Khaled merupakan bekas Setiausaha Politik Shahrir ketika Ahli Parlimen Johor Baru itu menjadi menteri pada tahun 80-an.
Kata Salahuddin lagi, tindakan Mohamed Khaled melantik Shahrir untuk jawatan tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa Mohamed Khaled cuba membalas jasa bekas mentornya itu.
"Mungkin juga perlantikan Shahrir bertujuan untuk mengukuhkan penguasaan golongan `ultra-Malay' dalam institusi bumiputera tetapi harus diingat ia tidak sepatutnya boleh memberi kesan terhadap ketelusan pentadbiran awam," katanya.
Menurut Salahuddin, sebelum ini kerajaan pernah membuat kesilapan apabila melantik Datuk Dr Jamaluddin Jarjis selaku Pengerusi PAC sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana ia menyebabkan berlakunya pertindihan kepentingan dalam menjalankan tugas tersebut.
Pengerusi PAC, katanya sepatutnya bebas daripada apa-apa jawatan yang boleh menjejaskan fungsi dan tugasnya untuk melakukan pengauditan terhadap kira-kira awam.
"Walaupun undang-undang tidak menghalang Pengerusi PAC memegang apa-apa jawatan dalam agensi kerajaan tetapi amalan ini boleh memberi kesan negatif terhadap ketelusan pentadbiran awam dan intergriri nasional," tambahnya.
Beliau berkata, Pemuda PAS menuntut supaya jawatan Pengerusi PAC diberikan kepada pembangkang , bukannya kepada Pengerusi BBC untuk memastikan BBC bergerak mengikut tujuan asalnya.