Orang Melayu telah menunjukkan kemanusiaan Islam tertinggi di negara ini dengan menerima golongan bukan Islam sebagai warganegara ketika era kemerdekaan, kata seorang sarjana.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Mohamad Naser Disa berkata, pengamalan hak asasi Malaysia sebenarnya lebih baik berbanding di Amerika Syarikat (AS).
Katanya, negara kuasa besar dunia itu hanya membenarkan orang kulit hitam mengundi pada tahun 1965.
Mohamad Naser juga berkata Malaysia tidak seperti negara yang menghalau orang asing dari negara masing-masing selepas kemerdekaan.
Beliau justeru menyifatkan langkah itu sebagai kemanusiaan tahap tertinggi yang ditunjukkan, berdasarkan ajaran Islam.
Beliau turut berhujah Malaysia bukanlah sebuah negara sekular seperti didakwa banyak ahli politik dan peguam.
