MP PAS cadang elaun mahasiswa RM100 sebulan
Ketika isu kemiskinan mahasiswa menjadi perbincangan hangat, seorang anggota parlimen PAS mencadangkan penyediaan elaun sara hidup bulanan sekurang-kurangnya RM100 sebulan kepada golongan itu.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) berkata peruntukan itu boleh dibiayai oleh kerajaan pusat atau negeri masing-masing.
Beliau berkata kerajaan hanya memerlukan RM637.8 juta setahun untuk bayaran itu, berdasarkan rekod 531,533 orang mahasiswa Malaysia di universiti awam pada 2013.
Jumlahnya adalah lebih sedikit jika hanya diperuntukkan untuk mahasiswa peringkat sarjana muda dan diploma, menurut anggota majlis Syura dan jawatankuasa pusat PAS itu.
“Jumlah ini tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan pelbagai perbelanjaan yang tidak efektif dan pembaziran oleh kerajaan yang boleh dilihat menerusi Laporan Ketua Audit Negara,” kata Khairuddin.
Beliau berkata, elaun sara hidup itu sebagai tambahan kepada dana pendidikan mereka, sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman, bagi membiayai kos pendidikan tinggi.
Tabung sara hidup
Sementara itu, beliau juga berkata sumber lain boleh diperoleh melalui penubuhan "tabung sara hidup mahasiswa".
Beliau mencadangkan sebuah kerjasama syarikat milik kerajaan persekutuan dan negeri, syarikat korporat, yayasan kebajikan, persatuan kebajikan serta masyarakat awam yang prihatin.
“Jika program-program berbentuk hiburan, kebudayaan atau sukan pun ada yang sanggup memberikan penajaan sehingga mencecah jutaan ringgit, saya yakin dan percaya akan ada juga yang sudi memberikan penajaan kepada golongan mahasiswa ini yang merupakan aset penting negara dan untuk meraih ganjaran yang lebih besar di sisi Allah SWT,” katanya.
Beberapa pemimpin pelajar sebelum ini membangkitkan isu kesusahan pelajar berdepan kos sara hidup tinggi sehingga tidak cukup makan.
Laporan berkaitan kesusahan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menahan lapar sehingga “usus terkoyak” dan “muntah darah” mendapat perhatian amat luas.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
