Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ayahanda diseru henti guna gelaran datuk tidak sah

Yayasan Ayahanda SeMalaysia bersama 60 NGO bertaraf ayahanda menyeru ahlinya yang menggunakan gelaran Datuk dan Datuk Seri yang tidak sah supaya tidak lagi menggunakannya.

Pengerusi Eksekutifnya Syed Husain Al-Shahab berkata seruan itu dibuat memandangkan pihak YAS mengangkat institusi beraja dan tidak mahu perbuatan itu mencemarkan imej pertubuhan tersebut.

“YAS bersama lebih 60 NGO bertaraf ayahanda secara jujurnya menyeru kepada pemimpin, AJK, pegawai-pegawai serta ahli-ahli yang bertaraf ayahanda yang menggunakan gelaran Datuk dan Datuk Seri yang tidak sah supaya berhenti menggunakannya.

“Sebagai ayahanda yang memimpin NGO selama ini melaungkan perjuangan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu, kedaulatan negara, kesetiaan kepada Raja-raja, pemimpin-pemimpin serta pemerintah Melayu tetapi berlaku kesilapan di mana pemimpin NGO ini telah melanggari laungan perjuangan mereka,” katanya kepada pemberita di Kampung Baru hari ini.

Jelasnya, YAS mengenal pasti terdapat 100 ayahanda menggunakan gelaran Datuk dan Datuk Seri yang tidak diiktiraf manakala dalam pertubuhan itu hanya tiga sahaja yang diiktiraf.

“100 yang dikenal pasti ayahanda guna Datuk dan Datuk Seri yang tidak sah, cuma tiga orang sahaja yang sah,” katanya

Tambahnya, sebagai pemimpin NGO bertaraf ayahanda, mereka perlu selari dengan laungan perjuangan atau menjadi contoh kepada masyarakat.

"Bukan dengan cara mengejar segala pangkat dan darjat yang merugikan..akhirnya masyarakat memandang serong dengan gelaran, pangkat, darjat yang disandang itu tidak diiktiraf," katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah restoran.

Jelasnya lagi, semua gelaran Datuk atau Datuk Seri dari luar negara juga tidak diiktiraf di Malaysia dan tidak boleh diguna pakai dalam sebarang majlis rasmi.

Justeru, pihaknya mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan sebuah pusat penyelarasan darjah kebesaran datuk-datuk dan adat budaya.

Ia bagi mengenal pasti serta mengumpul dan mengawal selia, adat budaya atau tradisi yang tidak termasuk dalam kategori darjah kebesaran yang diiktiraf oleh kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS