Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini sebak ketika menceritakan tentang pengorbanan ayahandanya yang juga adalah perdana menteri yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Najib yang menjadikan bapanya sebagai contoh dalam mentadbir negara berkata, Abdul Razak layak digelar 'Bapa Pembangunan' kerana beliau menyerahkan segala kehidupannya untuk negara ini.
"Hari ini, 40 tahun selepas beliau meninggal, saya berdiri dan saya ingin katakan bahawa saya bangga menjadi anaknya dan oleh sebab itu setiap hari saya bekerja untuk mengikut jejak langkahnya. Beliau merupakan contoh kepada saya dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Saya pasti kita semua boleh bersetuju dan tak perlu diingatkan lagi kenapa Tun Razak layak untuk digelar 'Bapa Pembangunan'. Beliau serahkan kehidupannya untuk negara ini," kata Najib dengan nada sebak.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di seminar khas bagi memperingati Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, Najib turut menyingkap usaha Razak membentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memastikan keadilan sosial.
Katanya, perkara itu masih diperjuangkan hingga ke hari ini.
Najib turut mengaitkan dasar pembentukan DEB dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mempunyai matlamat yang sama.
"Tindakan untuk bersetuju dengan DEB adalah untuk memastikan keadilan sosial tidak ketinggalan dan kita masih perjuangkannya sehingga hari ini.
"Dan ini juga hujah yang kita masukkan dalam TPPA dan ia diterima yang mana ia merupakan satu pencapaian yang ketara.
“Kami telah menyertai perjanjian ini atas terma dengan dasar-dasar tindakan yang afirmatif yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa," kata Najib.
Sementara itu, menceritakan peristiwa 13 Mei 1969, Najib memberitahu bapanya tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Sebaliknya, apa yang dilakukan Abdul Razak ialah dengan menggunakan cara demokrasi, katanya.
Ia dapat dibuktikan semasa Abdul Razak mengetuai Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang mana beliau memimpin dengan kuasa yang tidak berlaku sebelum ini, jelas Najib.
"Tun Razak merupakan seorang demokrat yang bagus. Beliau tidak pernah menggunakan kuasa yang dia ada - malah dia seolah-olah takut dengannya - dan dia sebolehnya mahu kuasa itu diberi kepada rakyat kembali.
"Pada 1971, dia mengembalikan ketenteraman dan kestabilan dalam negara dan Tun Razak sanggup menjadi mengembalikan pemerintahan berlandaskan parlimen.
“Ia selamatkan Malaysia, dan selamatkan demokrasi Malaysia daripada mengalami nasib yang sama sebagaimana negara-negara membangun yang lain," katanya lagi.
