Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan, bapanya Tun Abdul Razak mahu beliau menjadi seorang akauntan dan bukan ahli politik.

Menceritakan kembali detik tersebut, Najib memberitahu, beliau ketika itu seorang yang pendiam dan bapanya berpendapat beliau tidak sesuai untuk menyertai dunia politik.

"Bapa saya sebenarnya tidak menggalakkan saya untuk menjadi ahli politik. Dia mahu saya menjadi akauntan dan masuk ke dunia korporat.

“Pada ketika itu dia merasakan saya seorang yang sangat pendiam untuk menyertai sepak-terajang dunia politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di seminar sempena memperingati Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, beliau juga memberitahu semasa pertama kali bertanding di kerusi parlimen Pekan, beliau ketika itu baru berusia 22 tahun dan masih lagi tidak yakin untuk menyertai politik di usia yang muda.

"Sebulan selepas beliau meninggal dunia, dan disebabkan beliau meninggal, saya kemudian bertanding di kawasan lamanya di Pekan. Pencapaian Tun Razak yang bagus ketika itu merupakan salah satu sebab mengapa ia keputusan yang sukar untuk bertanding di sana.

"Saya baru 22 tahun dan baru pulang dari universiti di England. Pada ketika itu, saya berfikir adakah saya bersedia untuk menggantikannya pada usia yang muda," kata Najib.

Selain itu, Najib juga memberitahu, bapanya juga seorang yang sangat mementingkan kerja dan negara serta tidak pernah bimbang sekiranya beliau kehilangan jawatan.

"Saya lihat bagaimana beliau bekerja keras. Beliau tidak bimbang untuk hilang jawatan, malah kesihatannya sendiri. Negara dan kerjanya adalah yang paling utama. Setiap detik kehidupannya adalah untuk itu," katanya lagi.

Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 akibat leukimia.

Selepas pemergian Abdul Razak, Najib kemudian bertanding di Pekan bagi menggantikan bapanya dan kekal menjadi anggota parlimen kawasan itu sehingga hari ini.

Lihat Komen
ADS