Seekor anak tenggiling Sunda jantan dilepaskan ke dalam hutan Kinabatangan, berhampiran Pusat Penyelidikan Danau Girang.
Dr Melanie Billings Yun, isteri Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Yun, menyaksikan pelepasan itu pada Isnin lepas.
Beliau melawat pusat penyelidikan itu bersama delegasi dari Portland, Oregon, AS.
Doktor veterinar Unit Penyelamat Hidupan Liar, Dr Pakkyaraj Nagalingam berkata sebuah keluarga dari Sandakan menghantar tenggiling terbabit ke Sepilok pada 10 Jan selepas membelinya daripada seorang lelaki di Mile 8 yang secara senyap-senyap menawarkan haiwan itu kepada orang awam.
Beliau berkata selepas berunding, haiwan itu dijual dengan harga RM100.
"Selepas berehat semalaman, tenggiling itu diperiksa dan didapati haiwan itu peka, responsif dan kesihatannya baik.
"Kutu dikeluarkan daripada badannya, darah dikumpul untuk analisis genetik dan ia dipasang mikrocip, sebelum dihantar ke hutan Kinabatangan," katanya dalam kenyataan bersama oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Penyelidikan Danau Girang hari ini.
Penolong Pengarah jabatan itu, Dr Senthilvel Nathan berkata haiwan nokturnal (aktif pada waktu malam) itu kini disenaraikan dalam Bahagian Satu Jadual Dua, Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997, bermaksud ia boleh diburu dengan lesen.
Beliau berkata spesis tersebut merupakan haiwan terancam di Sabah, didagangkan dan jabatan itu kini berusaha menyediakan kertas kabinet bagi menaik taraf spesis itu kepada Jadual Satu, untuk menjadikannya spesis yang dilindungi sepenuhnya.
"Kami berterima kasih kepada orang awam yang menyelamatkan haiwan tersebut.
"Bagaimanapun, orang ramai tidak digalakkan membeli hidupan liar daripada pengedar kerana ia menggalakkan penjualan haiwan tersebut.
"Sebaliknya, orang ramai diminta memaklumkan jabatan kami secepat mungkin dengan menghubungi saya di talian 012-8019289 bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat, termasuk gambar peniaga jika boleh.
"Kami perlu menahan dan mendakwa pesalah ini yang mengancam hidupan liar kita," kata Senthilvel.
- Bernama
