Najib: RM20,000 kepada waris setiap korban tsunami

   

Sumbangan RM20,000 akan diberikan kepada waris terdekat setiap mangsa yang terkorban dalam bencana tsunami yang melanda beberapa negeri di barat Semenanjung bulan lalu.

Ketika mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat yang dipengerusikannya di Putrajaya hari ini.

"Kita bersetuju memberi sumbangan RM20,000 bagi setiap mangsa tsunami yang terkorban. Kalau dalam sebuah keluarga ada tiga atau lima orang terkorban, umpamanya, maknanya RM20,000 darab tiga atau lima dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Menurut Bernama , sumbangan itu akan dikreditkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional, dan akan mula diberikan petang ini kepada sebahagian daripada keluarga 68 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pada 26 Disember lalu.

Najib akan menyampaikan sumbangan itu apabila melawat mereka di Kota Kuala Muda, Kedah, iaitu antara kawasan paling teruk dilanda ombak besar selain Pulau Pinang.

Proses kerugian

Bencana yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut berhampiran pulau Sumatera itu dilapor menyebabkan kematian lebih 155,000 orang, terutamanya di Aceh, Indonesia.

Jawatankuasa itu juga, kata Najib, telah membuat keputusan bahawa 206 penternak ikan laut dan 102 petani, terutamanya pesawah, yang terlibat dalam bencana tersebut, layak menerima bantuan RM500 seorang.

"Jawatankuasa ini juga bersetuju membayar wang ehsan bagi kerugian RM530,000 kepada penternak ikan laut seperti yang ditaksirkan oleh Jabatan Perikanan," katanya.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pertanian berjanji akan menyegerakan proses membuat taksiran kerugian yang dialami mangsa tsunami.

"Sebaik sahaja mereka membuat taksiran, maka Jawatankuasa Bencana Negara akan bersidang sekali lagi dalam masa terdekat untuk menentukan sumbangan terakhir yang akan kita sampaikan berasaskan kepada jumlah sumbangan orang ramai yang semakin meningkat," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In