Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat remaja hamil tolak novel Komsas 'lucah'
Diterbitkan:  Jan 19, 2016 11:53 AM
Dikemaskini: 4:58 AM

Sebuah pusat remaja hamil tanpa nikah melahirkan kekesalannya dengan pemilihan novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin sebagai teks sastera untuk pelajar tingkatan empat yang didakwa berunsur lucah.

Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (Darwa) berkata novel itu tidak wajar dijadikan sebagai komponen sastera (Komsas) di sekolah.

“Pihak kami menggesa panel pemilih supaya lebih berhati-hati, peka dan bertanggungjawab dalam pemilihan dan penilaian,” kata pengerusi pertubuhan itu Hazlina Abd Razak.

Dalam kenyataannya, Darwa berkata Pemilihan buku Pantai Kasih bertentangan dengan roh Falsafah Pendidikan Negara, Dasar Budaya Negara dan Dasar Sosial Negara.

Justeru, Darwa menggesa Kementerian Pendidikan menarik semula novel itu daripada kurikulum sekolah.

“Pihak Darwa menganggap bahawa langkah pencegahan adalah lebih baik dari merawat,” katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh masalah sosial di kalangan remaja, Hazlina menggambarkan ia sampai ke tahap serius.

Dakwanya, remaja yang menjalani pemulihan di tempat mereka memaklumkan “aktiviti yang mereka lakukan ketika ketiadaan guru adalah menonton video porno melalui telefon di belakang kelas”.

Antara petikan ayat yang dipertikaikan dalam buku tersebut, yang dimuat naik ke Internet:

“Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha.

“Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu”.

Polemik novel itu bermula minggu lalu selepas penggunaannya sebagai teks Komsas dipersoal pengguna media sosial susulan adegan yang didakwa terdapat elemen lucah.

Pemilihannya juga dikatakan kurang menepati matlamat Komsas untuk membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.

Malaysiakini sudah menghubung Azmah dan masih menunggu reaksinya berhubung dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS