Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang menetapkan garis panduan mengasingkan troli barangan halal dan tidak halal di pasar raya dalam syarat permohonan lesen perniagaan pada masa depan.

Ketua setiausahanya Datuk Seri Alias Ahmad berkata walaupun ketika ini KPDNKK tidak mewajibkan syarat itu kepada pengusaha pasar raya, bagaimanapun kerajaan menggalakkan mereka berbuat demikian.

"Buat masa ini belum ada lagi syarat wajib pengasingan troli tapi kementerian menggalakkan pengusaha pasar raya membudayakan usaha itu kerana kerajaan percaya ia boleh membuka mata pihak lain untuk mengikutinya.

"Tapi satu masa kelak sekiranya self compliance (pematuhan sendiri) ini tak dapat dilaksanakan, maka kerajaan tidak ada pilihan lain kecuali menetapkan garis panduan pengasingan troli untuk memastikan pengguna Islam lebih selesa dan yakin untuk membuat pembelian," katanya dalam sidang media di pasar raya NSK di Kuala Lumpur hari ini.

Alias berkata, antara panduan yang akan ditetapkan adalah membezakan warna troli dan pengasingan lokasi kaunter pembayaran bagi barangan halal dan tidak halal.

Dalam tinjauan Alias hari ini, beliau mendapati pasar raya itu mengambil langkah membezakan troli berwarna merah bagi barangan yang tidak halal, manakala troli tidak berwarna bagi membawa makanan halal.

NSK muncul pasar raya pertama membuat langkah tersebut dan Alias berharap agar pasar raya lain mengikut langkah positif berkenaan.

Lihat Komen
ADS