Premis Kohilal hadapi kemungkinan dilelong
Kegagalan demi kegagalan yang menimpa pelaburan Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) antara tahun 1996 hingga 1999, kini mendedahkan koperasi itu terhadap kemungkinan premisnya dilelong.
Koperasi yang mempunyai kaitan dengan parti PAS itu, dipercaya mempunyai aset bernilai RM60 juta.
Bekas ahli Kohilal Abdul Aziz Awang Kecil telah mendapatkan perintah menyita dan menjual, dari Mahkamah Sesyen Temerloh, terhadap koperasi itu bagi mendapatkan semula pelaburannya berjumlah RM48,055.
Peguamnya yang tidak mahu namanya disebut, memberitahu malaysiakini , perintah tersebut dikeluarkan oleh mahkamah itu pada bulan Jun 2003 selepas pihak Kohilal tidak mengendahkan tuntutan yang dibuat oleh pelanggannya itu.
"Kami memfail saman itu pada tahun 2002 tetapi mereka (Kohilal) tidak menjawabnya. Apabila kes itu didengar di mahkamah, mereka tidak hadir. Berikutan itu, kami memperolehi penghakiman tersebut," tambahnya.
Katanya, selepas tindakan untuk melelong premis koperasi itu di Jalan Serekei di Kuala Lumour difailkan, seorang wakil dari Kohilal berkata mereka mahu menyelesaikan jumlah tersebut dan meminta Abdul Aziz menarik balik tindakannya itu.
"Tetapi selepas seketika waktu, kami tidak menerima wang tersebut. Jadi kami menfailkan tindakan kedua di mana bailif mahkamah telah menyita tingkat bawah premis tiga tingkat itu. Selepas itu, seorang lagi wakilnya berkata mereka mahu menyelesaikan bayaran tersebut," katanya.
Ansuran bulanan
Menurut peguam itu lagi, beliau telah menarik balik tindakan terhadap Kohilal selepas mereka bersetuju untuk membayar RM10,000 kepada pelanggannya dan berjanji untuk menyelesaikan bakinya RM38,000 melalui ansuran bulanan.
"Kami bersetuju Kohilal membayar pelanggan kami RM1,000 setiap bulan sehingga baki tersebut selesai. Tetapi malangnya, sehingga hari ini, kami tidak menerima walaupun sesen, selain daripada RM10,000 itu," tambahnya.
Katanya lagi, beliau telahpun menfailkan tindakan ketiga untuk melelong premis tersebut bagi mendapatkan wang baki tersebut dan kini pihaknya sedang menunggu notis daripada bailif mahkamah Kuala Lumpur.
"Kali ini, saya rasa, kami akan meminta supaya keseluruhan premis itu disita. Kami sudah terlalu lama bersabar dan saya rasa mereka mengambil kesempatan ke atas kami," katanya.
Dakwaan salah pengurusan pelaburan Kohilal telah menjadi 'duri dalam daging' bagi PAS kerana sebahagian besar lembaga pengarah koperasi tersebut ketika itu, kini menjadi pemimpin kanan parti itu.
Isu tersebut turut dibangkitkan sewaktu mesyuarat serta persidangan parti yang diadakan, termasuk munaqashah atau konvensyen khas parti itu yang berlangsung baru-baru ini.
Para perwakilan yang membangkitkan isu tersebut, antara lain, mahu supaya pemimpin-pemimpin yang terbabit dalam kegagalan pelaburan tersebut, supaya meletakkan jawatan.
Ia membabitkan berjuta-juta ringgit wang yang dikutip daripada ahli-ahli koperasi itu antara tahun 1996 hingga 1999. Kedudukan pelbagai pelaburan perniagaan, termasuk ladang ternakan burung unta di Australia, tidak diketahui.
Malah, tidak seorangpun pemimpin PAS atau pemimpin koperasi tersebut yang tampil memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.
Keadaan itu telah membawa kepada perletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah Kohilal yang dipengerusikan oleh Senator Hassan Shukri, yang kini Timbalan Presiden PAS, pada bulan Jun 2002. Hassan menjadi pengerusi koperasi itu pada tahun 1996.
"Kami bukan bodoh"
Ketika dihubungi kemudiannya, Pengerusi Kohilal sekarang, Saidon Othman mengesahkan bahawa terdapat perjanjian untuk membayar Abdul Aziz baki RM38,000 itu melalui ansuran bulanan.
"Ya, lembaga pengarah setuju berbuat demikian, dan kita telahpun melakukannya dengan mengeluarkan 35 cek tarikh tertunda. Kami telah menyerahkannya kepada peguam kami di Kuantan. Saya rasa mereka perlu menghubungi peguam kami, dan perkara itu akan diselesaikan," tambahnya.
Ditanya mengenai kegagalan Kohilal menjawab saman apabila ianya mula difailkan pada tahun 2002, Saadon berkata beliau tidak mengetahui apa-apa mengenainya, kerana ia difailkan sebelum lembaga pengarah yang baru mengambil alih pengurusan koperasi tersebut.
Bagaimanapun, peguam Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak menerima sebarang cek daripada koperasi tersebut dan pihaknya akan menerus tindakan untuk mendapatkan semula wang pelanggannya.
"Kami bukan meminta mereka membayar hutang. Pelanggan saya hanya mahu wangnya balik supaya beliau dapat memulakan perniagaan kecil. Itu sahaja. Kami bersabar tetapi kami bukan bodoh. Jika kami mendapatkan wang tersebut sebelum menerima notis bailif mahkamah, mungkin kami boleh menimbang menggugurkannya," tambahnya.
Sementara itu, sumber-sumber koperasi tersebut berkata, lembaga pengarahnya sekarang terpaksa menyelesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan oleh pihak pengurusannya sebelum ini.
Katanya, lembaga pengarah sebelum ini enggan berbuat sesuatu dan dengan angkuhnya tidak mengendahkan saman tersebut apabila mereka menerima dokumennya.
"Jika mereka melantik peguam untuk mengendalikan saman tersebut, pihak koperasi mungkin tidak perlu membayar apa-apa. Lagi pula, setiap pertikaian boleh diselesaikan melalui tribunal koperasi," tambahnya.