Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Umno Kedah memberontak, Mukhriz di hujung tanduk?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Satu langkah bersepadu untuk menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilapor sedang digerakkan, kurang daripada setahun selepas menteri besar Kedah itu berjaya mengelakkan pemberontakan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini memulakan perang terbuka terhadap Mukhriz dengan mengisytiharkan bahawa pemimpin Umno di negeri itu telah 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan menteri besar Kedah.

Menurut Berita Harian , beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

“Pemimpin Umno Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi Umno negeri,” kata Ahmad Bashah ( atas, baju biru ) yang membaca kenyataan yang disediakan.

Menurutnya, seramai 14 ketua bahagian hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Beliau menyenaraikan empat sebab yang dikatakan sebagai punca kehilangan keyakinan itu, iaitu kegagalan Mukhriz untuk menyatukan parti, kekurangan perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kegagalannya memimpin dan menggerakkan jentera parti serta ketidak-upayaannya menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan.

"Dengan ini kami merayu keprihatinan perdana menteri untuk membuat perubahan segera ke atas kepimpinan tertinggi parti negeri serta jawatan Menteri Besar Kedah," katanya dalam sidang akhbar di di Grand Alora Hotel, Alor Setar hari ini.

Desakan Ahmad Bashah itu dibuat selepas mesyuarat pemimpin tertinggi Umno Kedah diadakan tanpa kehadiran Mukhriz.

Antara mereka yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ( kiri ) dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Mereka juga hadir ketika Ahmad Bashah membuat pengumuman hilang kepercayaan terhadap Mukhriz pada sidang akhbar hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berada di London telah diwakili oleh bekas wakil rakyat kawasan itu Ghazali Ibrahim.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Azizy Zainal Abidin; Ketua Wanita Umno Kedah, Maznah Abd Hamid dan Ketua Puteri Umno Kedah, Norashimah Md nowar.

Ahmad Bashah kini adalah timbalan menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan melalui kedudukannya sebagai senator.

Beliau juga adalah ADUN Bakar Bata dan menjadi calon utama menteri besar Kedah jika Mukhriz digulingkan.

Mukhriz menjadi sasaran berikutan percubaan terbuka bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menumbangkan Najib sebagai perdana menteri.

Pada April tahun lalu, Mukhriz telah didesak oleh penyokong setia Najib supaya menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib yang dilanda pelbagai masalah.