PKR mencabar pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah membuat perubahan segera terhadap sistem pilihan raya negara ini dalam tempoh tiga bulan.
Pengarah pilihan raya PKR, Nurul Izzah Anwar antaranya berkata Hashim perlu segera menyiasat perdana menteri bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan berbelanja lebih had dalam pilihan raya.
“Peluang ini datang hanya sekali,” katanya.
“Mahukah Datuk Seri Hashim mahu diingati sebagai pengerusi SPR yang hanya meneruskan legasi pak turut parti pemerintah, ataupun seorang yang benar-benar menjalankan tugas seperti yang ditegaskan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia?”
Nurul memetik seksyen 19, akta itu, yang menghadkan perbelanjaan pilihan raya kepada hanya RM200,000 dan RM100,000 setiap calon parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan tiga yang lain bagaimanapun hari ini berjaya membatalkan saman PKR atas dakwaan berbelanja lebih dalam kempen pilihan raya umum ke-13.
Hashim, timbalan pengerusi SPR dilantik sebagai pengerusi baharu badan itu berkuat kuasa Ahad ini bagi menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tamat tempoh perkhidmatan.
Dalam kenyataan hari ini, Nurul juga menuntut Hashim memastikan berlakunya reformasi sistem pilihan raya bagi melahirkan sebuah proses yang benar-benar bersih dan adil.
Beliau membangkitkan laporan jawatankuasa terpilih parlimen bagi reformasi pilihan raya pada 2012 yang mengesyorkan beberapa perkara, termasuk pendaftaran pengundi automatik bagi warganegara 21 tahun.
Begitu juga dengan tempoh berkempen kempen lebih panjang dan akses media yang adil bagi kesemua parti politik yang bertanding.
PKR juga menuntut semakan segera semula dan segera terhadap proses persempadanan semula Sarawak yang bermula pada 5 Januari 2015, yang menyaksikan penambahan kerusi pertama dalam DUN Sarawak.
“Mahkamah Tinggi Sarawak juga mendapati bahawa SPR gagal untuk melakukan tugas mereka dengan sempurna dalam kes persempadanan semula, walaupun keputusan tersebut berjaya dirayu oleh SPR dalam Mahkamah Rayuan,” katanya.
