Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi menegaskan bahawa tempoh maksimum menggelar seorang saudara baru sebagai mualaf ditetapkan selama lima tahun.
Bahagian Pengurusan Fatwa Jakim menegaskan kembali fatwa itu dalam Facebook semalam.
“Bagaimanapun, selaras dengan (skop) kuasa agama bawah bidang kuasa negeri, maka majlis agama Islam negeri berhak membuat sebarang pengecualian yang dikehendaki,” menurut bahagian itu.
Bahagian itu juga memuat naik semula keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-108 yang bersidang pada 2-3 November tahun lalu.
Keputusan muzakarah itu antaranya menyebut, perbincangan dibuat susulan kebimbangan Jawatankuasa Fatwa Terengganu terhadap ketiadaan keseragaman dalam isu itu kerana ia melibatkan tuntutan zakat.
“Muzakarah berpandangan bahawa penyelarasan tentang had tahun ini sangat perlu bagi mengelakkan golongan saudara baru/ mualaf ini meminta-minta.
“Dan sekiranya pengurusan kebajikan saudara baru/mualaf ini dilaksanakan dengan betul, sekurang-kurangnya tempoh tiga tahun sudah mencukupi untuk mereka mendapat bimbingan dan pendidikan Islam.
“Mereka juga boleh memohon bantuan zakat bawah asnaf lain sekiranya layak,” menurut keputusan itu.
