Tahanan diseksa, kerajaan perlu bertanggungjawab

Ahmad Syukri Che Ab Razab        

ULASAN Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan Malaysia segera menyiasat dakwaan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) didera semasa dalam tahanan 28 hari polis.

Menurut pendedahan NGO hak asasi manusia, Suaram, seperti yang dilaporkan media pada 18 Januari 2015, mereka menerima tujuh pucuk surat daripada tahanan yang menceritakan didera .

Sosma merupakan undang-undang yang membenarkan polis menahan tanpa bicara seseorang dalam masa 28 hari untuk tujuan siasatan.

Cegah keganasan

AMK difahamkan hampir 90 peratus tahanan Sosma adalah mereka yang dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

AMK menyokong segala usaha bagi memerangi keganasan dan tidak ada kompromi dalam memelihara ketenteraman awam.

Tetapi usaha tersebut mestilah dibuat dalam lingkungan undang-undang dan tidak melampaui batas kemanusiaan.

Berdasarkan surat aduan tahanan Sosma kepada Suaram, tahanan mendakwa kepalanya dipijak berkali-kali, dipaksa melakukan onani, disuruh berbogel, dipaksa merangkak seperti anjing dan dipaksa menonton video lucah melalui telefon bimbit.

Malah lebih melampau ada tahanan yang mendakwa dipaksa melafazkan taklik cerai terhadap Isteri.

Apakah ini prosedur standard penyiasatan pihak polis terhadap tahanan Sosma?

Jelas sekali perkara ini bercanggah dengan hak asasi manusia dan melampaui kuasa yang dibenarkan undang-undang.

Tahanan Sosma seolah-olah dihukum sedangkan mereka belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Tugas pihak polis seharusnya menjalankan siasatan secara adil dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan hukuman, bukannya membelasah tahanan secara sewenang-wenangnya.

Episod berulang

Apa yang didakwa menimpa tahanan Sosma ini bukanlah suatu yang baru untuk rakyat Malaysia.

Suatu masa dahulu sudah ada laporan yang mendakwa penyeksaan dialami oleh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti dibogelkan, kemaluan dijolok dengan kayu, dipukul beramai-ramai dan bermacam-macam lagi penderaan ala Guantanamo.

Semua ini boleh berlaku akibat wujudnya undang-undang zalim yang memberi kuasa berlebihan kepada pihak polis untuk melakukan tangkapan sesuka hati dan menahan seseorang tanpa bicara untuk tempoh yang panjang selain sekatan terhadap akses peguam dan keluarga.

Di Malaysia, selain Sosma, terdapat tiga lagi akta zalim yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan iaitu Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Akta Pencegahan Jenayah (Pota) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah Pencegahan Khas) 1985 (DDA).

Poca memperuntukkan reman 38 hari dan perintah tahanan dua tahun. Pota pula memperuntukkan 59 hari reman dan perintah tahanan dua tahun.

Manakala Akta Dadah Berbahaya pula boleh mengenakan tahanan 60 hari dan perintah tahanan dua tahun.

Potensi salah guna

Kekhuatiran rakyat mengenai undang-undang seperti Sosma akan disalah guna juga mempunyai asas apabila bekas pemimpin Umno, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang menjadi mukadimah penggunaan Sosma ke atas orang politik.

Kerajaan boleh mengemukakan apa juga alasan untuk menjustifikasikan penahanan Khairuddin dan Mathhias, tetapi umumnya rakyat mengetahui mereka berdua ditahan di tengah-tengah usaha mendesak peletakkan jawatan perdana menteri yang dihimpit isu 1MDB.

Oleh itu tidak mustahil Sosma dan undang-undang zalim lain akan menjadi senjata kerajaan untuk mengekang seteru politik.

Perkara ini juga sudah terbukti melalui sejarah ISA yang merekodkan tidak kurang daripada 5,000 aktivis politik pernah menjadi mangsa akta zalim itu.

Suruhanjaya Rekonsiliasi

Oleh itu AMK mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat segala dakwaan salah laku yang dilaporkan hasil aduan tahanan Sosma ini, seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Perkara ini penting bagi memastikan mereka yang tertindas diberikan keadilan yang sewajarnya.

Hal ini juga penting bagi mengubati defisit kepercayaan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Amk juga menggesa agar kerajaan segera memansuhkan semua undang-undang yang mencabuli hak asasi manusia seperti Sosma, Poca, Pota dan DDA.

AMK berpendirian Kanun Acara Jenayah sudah memadai untuk menangani segala bentuk ancaman keselamatan dalam masa yang sama memelihara hak kebebasan asasi.

AMK juga menggesa PDRM memanfaatkan peruntukan RM13.1 bilion daripada Bajet 2016 dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti fasiliti dan kecekapan siasatan bagi memantapkan mutu kerja PDRM.

Dengan bajet yang begini besar, seharusnya PDRM bergerak lebih maju ke hadapan dengan kaedah penyiasatan lebih efektif, sekali gus berhenti daripada menggunakan kaedah rimba yang mencemarkan imej.


AHMAD SYUKRI CHE AB RAZAB setiausaha pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK).

OKT Sosma dakwa kena seksa, cium kaki, onani

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In