ULASAN Dalam pilihan raya umum ke-13 yang lepas, gabungan parti pembangkang memperoleh undi populariti 52 peratus.
Namun pimpinan Pakatan Rakyat ketika itu gagal dalam usaha menawan Putrajaya lantaran sistem pilihan raya kotor serta persempadanan kawasan pilihan raya tidak adil.
Perdana Menteri Najib Razak telah mengeluarkan kenyataan berkaitan “tsunami Cina” pada hari kedua selepas pilihan raya umum (PRU) tersebut.
Pimpinan Pakatan menyangkal kenyataan Najib dengan menyatakan keputusan PRU ke-13 adalah hasil “tsunami bandar”.
Bagaimanapun, secara lama-kelamaan, ketiga-tiga parti dalam Pakatan mula beralih kepada idea bahawa kegagalan memperoleh undi Melayu merupakan faktor utama yang menggagalkan usaha penawanan Putrajaya.
Peralihan pemikiran tersebut adalah secara implisit mahupun eksplisit. Malah, Pakatan ketika itu mengharapkan supaya berlakunya “tsunami Melayu” sewaktu populariti Najib jatuh paling rendah sekali.
Hal ini telah sekali gus menafikan penyangkalan Pakatan terhadap kenyataan Najib dahulu dan sebaliknya menerima persepsi bahawa keputusan PRU ke-13 adalah “tsunami Cina”.
Sehubungan dengan itu, PAS berpendapat bahawa keberkesanannya dalam Pakatan akan menyebabkannya kehilangan undi Melayu.
PAS cuba kembali kepada perjuangan asal yang hanya berpaksikan Islam semata-mata dan isu hudud yang diketengahkannya. Ini menjadi sebab utama PAS semakin menyimpang jauh daripada perjuangan Pakatan.
PKR pula menganggap DAP yang terlalu kuat merupakan beban pakatan pembangkang dalam usaha memperoleh undi Melayu.
Pada masa yang sama, DAP sendiri beranggapan bahawa parti itu kini tidak dapat menampilkan diri sebagai parti untuk semua kaum.
Pimpinan pembangkang telah menetapkan matlamat dan arah perjuangan bagi PRU yang akan datang iaitu memperkuatkan usaha untuk memperoleh undi Melayu.
Persepsi pimpinan pembangkang adalah bahawa perolehan undi Melayu adalah memadai untuk menawan Putrajaya.
Maknanya, pimpinan pembangkang telah lupa bahawa kegagalan usaha penawanan Putrajaya pada PRU lepas disebabkan oleh ketidakadilan sistem pilihan raya dan bukannya kerana ketidakcukupan undi Melayu.
Tikam belakang
Demi meraih undi Melayu, PKR telah terus bersama PAS yang membelakangkan prinsip perjuangan, menikam dari belakang serta berbaik-baik dengan Umno.
Malah Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli telah meminta masyarakat bukan Melayu supaya memahami kebimbangan dan kegelisahan komuniti Melayu.
Parti Amanah Negara (AMANAH) pula menguar-uarkan bahawa orang Cina tidak mungkin mentadbir negara ini dan seterusnya meminta DAP agar tidak meletakkan calon Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.
Dalam usaha meraih undi kaum majoriti, parti pembangkang sedia ada telah banyak bertolak ansur dalam aspek impian serta nilai sejagat.
Demi menenangkan hati orang Melayu yang bimbang dan gelisah, pimpinan pembangkang telah secara implisit terjatuh ke dalam perangkap hegemoni Melayu yang diwujudkan Umno selama ini.
Paling mengejutkan, Pakatan Harapan yang merangkumi ketiga-tiga parti pembangkang telah sengaja menegaskan akan memandang serius serta mengatasi kebimbangan dan kegelisahan komuniti Melayu dalam sidang media yang dianjurkan pada 18 Januari 2016.
Malah pimpinan Harapan menegaskan akan menjamin hak kaum Melayu. Pada masa yang sama, pimpinan Harapan hanya menggunakan frasa “tidak akan pinggirkan kaum lain” untuk menjaga hati kaum lain.
Mengapakah gabungan parti politik yang ingin melepaskan diri daripada belenggu politik perkauman dan keagamaan akan menitikberatkan isu kegelisahan dan kebimbangan sesetengah komuniti?
Mengapakah gabungan itu cuba untuk merasionalisasikan kebimbangan kaum Melayu serta mengutamakan kegelisahan komuniti Melayu memandangkan gabungan parti politik sedemikian selalu menampilkan dirinya sebagai kerajaan alternatif yang progresif dan terbuka.
Adakah Harapan telah menjadikan pengundi Melayu sebagai matlamat utama hanya kerana pengundi Melayu merupakan majoriti?
Apakah asas moral yang boleh digunakan Harapan untuk cuba meyakinkan masyarakat bukan Melayu dan bukan Muslim bahawa Harapan jika memegang tampuk pemerintahan kelak tidak akan seperti BN yang meletakkan kaum Melayu sebagai keutamaan?
Terdapatnya juga komentar politik yang mengatakan bahawa isu perubahan hanya dibincangkan selepas Harapan berjaya menawan Putrajaya nanti.
Sesungguhnya retorik sedemikian sama seperti dengan keadaan dalam pilihan raya palsu di Hong Kong apabila kerajaannya menyeru orang ramai menerima sistem itu terlebih dahulu.
Tiada apa-apa pun yang boleh menjamin usaha menenangkan kebimbangan Melayu akan memastikan undi mencukupi untuk mengubahkan kerajaan sedia ada.
Oleh itu, andaian sebegini adalah tidak berasas.
Politik perkauman tanpa had
Biarpun kita mengandaikan Harapan berjaya menawan Putrajaya nanti, pimpinannya ketika itu tentunya akan menganggap ia hasil usaha mengatasi kebimbangan kaum Melayu.
Sekiranya masyarakat Melayu pada masa itu berasa gelisah terhadap kerajaan baru, ataupun bimbang bahawa pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan akan mengakibatkan komuniti tersebut kehilangan kuasa.
Adakah Harapan akan mengubah dasar dengan menyesuaikan diri serta menggunakan pendekatan berbaik-baik demi mengatasi kebimbangan dan kegelisahan komuniti Melayu?
Sememangnya masyarakat Melayu berasa bimbang terhadap persepsi kehilangan kuasa, namun masyarakat bukan Melayu turut berasa gelisah terhadap ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin berleluasa.
Dalam sesebuah negara di mana rasuah berleluasa, perkauman dan keagamaan semakin berleluasa, ketidakcekapan pentadbiran, rakyat manakah yang akan selesa dan meletakkan harapan di tanah air ini kecuali individu yang memperoleh manfaat demi kepentingan diri sendiri?
Apabila semakin ramai bukan Melayu berhijrah ke luar negara dengan penuh kesedihan mahupun menyeberangi ke Singapura sejak awal pagi demi mencari rezeki, bukankah hal ini bermakna kebimbangan dan kegelisahan masyarakat bukan Melayu turut patut dijadikan keutamaan?
Adakah sokongan padu masyarakat bukan Melayu terhadap Pakatan pada PRU lepas menjadikan ia kini deposit tetap?
Pendekatan yang cuba menegaskan kebimbangan Melayu demi meraih undi komuniti tersebut bukan sahaja mengehadkan ruang impian Harapan pada masa yang akan datang, malah seolah-olah membantu Umno untuk terus memainkan politik perkauman dan keagamaan tanpa had.
Penegasan terhadap kebimbangan Melayu membuatkan Harapan terpaksa menitikberatkan undi kaum itu pada setiap masa.
Dan Umno tentunya akan mengambil kesempatan terus bermaharajalela dengan memainkan isu sedemikian.
Hal ini dibuktikan melalui insiden himpunan baju merah 16 September lalu serta rusuhan Low Yat baru-baru ini.
Umno berjaya mewujudkan suasana ketakutan di mana hegemoni Melayu ataupun Islam tidak boleh dipersoalkan.
Hal ini menyebabkan pemimpin Harapan kurang berani dan sukar untuk terus menyoal isu sedemikian.
Hal ini amat menyedihkan lantaran pihak pembangkang sepatutnya memperjuangkan setiap isu dihadkan oleh suasana ketakutan palsu yang diwujudkan Umno.
Dan Harapan tidak berupaya menembusi persekitaran ketakutan ini.
Apakah faktor yang membolehkan Pakatan begitu berjaya memperoleh undi populariti sebanyak 52 peratus ketika PRU 5 Mei?
Harapan sebagai harapan terakhir
Sebab utama adalah bahawa rakyat jelata dapat merasai keazaman Pakatan yang inginkan perubahan serta anggapan mereka bahawa negara ini masih mempunyai harapan.
Gabungan parti pembangkang ketika itu yang memperjuangkan isu semua rakyat Malaysia tidak pernahlah mengungkit isu kebimbangan Melayu dan hanya memfokuskan pembinaan sebuah negara Malaysia yang baru demi muafakat rakyat.
Namun, Harapan seolah-olah tidak mempunyai keazaman dan hala tuju yang jelas dalam perjuangan kini.
Harapan kini hanya terperangkap dalam belenggu perkauman dan keagamaan yang dimainkan oleh Umno dan tidak mempunyai niat politik yang kuat untuk mengubahkan situasi politik lama.
Malah Harapan beranggapan bahawa undi bukan Melayu adalah amat kukuh dan sekiranya rasa kebimbangan Melayu berjaya diatasi, maka usaha penawanan Putrajaya pasti akan berjaya.
Sesungguhnya pendekatan sedemikian yang hanya ingin mencapai matlamat penawanan Putrajaya bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada rakyat dan Harapan, malah pendekatan yang 'degil dan sesat', yang langsung tidak memberi manfaatkan kepada rakyat.
Menawan Putrajaya hanya salah satu kaedah parti politik untuk mencapai tujuan politik.
Matlamat terpenting sesebuah parti politik adalah memberikan kesedaran kepada orang ramai.
Tidak kira betapa dekatnya antara Harapan dengan Putrajaya, keutamaan ini tidak boleh berubah kerana prinsip itulah yang paling penting.
Harapan merupakan harapan terakhir rakyat untuk menyelamatkan negara ini. Harapan tidak bolehlah menjadi pakatan yang menghampakan rakyat.
Harapan mestilah kekal dengan prinsip perjuangan asal dan membimbing rakyat untuk menembusi politik lama dan bukannya menjadi pasif apabila berhadapan dengan hegemoni Melayu/Islam yang dimain Umno.
Harapan wajar mengatasi rasa kebimbangan semua rakyat dan bukan hanya menyelesaikan isu kegelisahan kaum Melayu.
Harapan harus meraih undi harapan semua rakyat yang inginkan perubahan dan bukan sekadar memfokuskan undi Melayu.
CHOW YU HUI anggota Dewan Undangan Negeri Bilut.
