Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan 14 ketua bahagian Umno Kedah ikut perlembagaan parti, kata Ku Nan
Diterbitkan:  Jan 23, 2016 10:23 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Tindakan disiplin tidak akan diambil terhadap 14 Ketua Bahagian Umno Kedah kerana mereka bertindak mengikut perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata mereka hanya menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, dan menyerahkan sepenuhnya kepada presiden parti untuk membuat keputusan.

"Mereka menyuarakan tidak senang dengan ketua perhubungan Umno negeri mereka, tetapi mereka kata terpulang kepada presiden parti untuk menentukan, bukan mereka desak supaya letak jawatan seperti (dilakukan) ketua cawangan.

"Mereka ikut perlembagaan, mereka ada perbincangan dahulu dalam kalangan mereka barulah mereka mengeluarkan kenyataan mengenai kurang senang terhadap ketua perhubungan mereka... itu memang ada dalam perlembagaan Umno," katanya kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 2,000 peserta Kayuhan Cinta Malaysia, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbezaan tindakan disiplin diambil terhadap beberapa Ketua Cawangan Umno yang mendesak Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata perlembagaan Umno menetapkan ketua di peringkat cawangan, bahagian atau negeri boleh digugurkan jika dua pertiga daripada anggota jawatankuasa tidak bersetuju dengan ketua masing-masing.

"Ini lebih dua pertiga, jadi mereka suarakan dan minta presiden parti membuat keputusan, bukan desak (untuk letak jawatan) seperti dilakukan oleh ketua-ketua cawangan.

"Kita tahu ada cawangan-cawangan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian. Jadi ada yang menangguk di air keruh menggunakan 20 peratus di peringkat cawangan yang tidak selari dengan bahagian ini.

"Jadi ini dua kaedah berbeza. Ada kata yang hendak bakar perlembagaan Umno, saya kata kalau hendak bakar baik berhenti sahaja jadi anggota Umno," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan Najib dengan ketua-ketua Bahagian Umno Kedah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, Tengku Adnan berkata pemimpin Umno Kedah sebulat suara bersetuju akan akur dan menunggu keputusan presiden parti.

Ditanya sama ada kemelut Umno Kedah akan menjejaskan prestasi parti itu secara keseluruhannya, Tengku Adnan berkata ia bukan krisis tetapi hanya ketidakpuasan hati terhadap pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

"Saya juga pengerusi badan perhubungan Umno negeri, saya tahu kadangkala ada ketidakpuasan hati jika kita tidak tadbir dengan baik.

"Jika tidak urus dan kita biarkan anak-anak buah kita seperti ayam tidak beribu, mereka akan suarakan ketidakpuasan hati," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS