Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ANALISIS Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengukuhkan kedudukannya di tengah-tengah skandal 'derma' dan melancarkan serangan balas terhadap para pengkritiknya, industri media telah menjadi salah satu mangsa pertama.

Ini ditambah pula dengan ekonomi yang lembap, yang menyebabkan kemerosotan pendapatan dari iklan dan ini telah memberi kesan, khususnya, ke atas sejumlah laman web berita dalam talian.

Seminggu yang lalu, khabar angin mula bertiup di kalangan wartawan bahawa pemilikan organisasi media tertentu mungkin bertukar tangan, segelintir lagi akan gulung tikar, manakala yang lagi mengubah kedudukan pasaran mereka.

Antara yang terlibat ialah laman web berita The Rakyat Post (TRP). Pelaburnya dipercayai telah menarik balik pembiayaan dan portal tersebut mungkin ditutup, demikian menurut satu sumber yang biasa dengan perkara itu.

Portal dalam tiga bahasa itu, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-13, menyediakan berita gaya tabloid. Dipercayai bekas penaungnya adalah seorang ahli perniagaan yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa TRP sedang menghadapi "isu aliran tunai", menyebabkan kelewatan membayar gaji, dan wartawan digalakkan oleh pihak pengurusan untuk mencari pekerjaan di tempat lain.

Malaysiakini telah menghubungi TRP untuk pengesahan tetapi masih belum menerima respons rasmi.

Sementara itu, Astro Awani, saluran televisyen yang paling popular yang telah berjaya menarik jumlah penonton Melayu yang ramai, tidak lama lagi akan beralih ke bahasa Inggeris sahaja.

Menurut satu sumber, ia berusaha untuk meletakkan semula kedudukannya sebagai agensi berita serantau dan ia tidak lagi akan memberi tumpuan semata-mata kepada isu semasa tempatan.

Difahamkan Astro Awani akan disiarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada 1 April.

Sebilangan kakitangannya dijangka akan diberhentikan manakala beberapa beberapa wartawan bahasa Melayu mungkin memilih untuk meletakkan jawatan, menurut sumber-sumber itu.

Malaysiakini telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi CEO Astro Awani,Faizal Mansor tetapi tidak berjaya.

Stesen berita Bahasa Malaysia 24 jam itu dilancarkan pada 2007 sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50. Dua tahun kemudian, ia berkembang dengan memasukkan program bahasa Inggeris.

Astro Awani juga mengendalikan sebuah laman web BM dan Inggeris, yang menyediakan berita bukan sahaja dalam video tetapi juga dalam teks. Tidak jelas sama ada laman web itu akan terjejas dengan transformasi tersebut.

Pemerhati percaya bahawa pertukaran bahasa itu dapat membantu kerajaan membendung pengaruh Astro Awani di kalangan penonton Melayu.

Satu lagi kejutan ialah berita mengenai mingguan kewangan The Edge, yang dilaporkan merancang untuk menjual The Malaysian Insider (TMI), yang didakwa sebagai sebahagian daripada urusan untuk menyelesaikan kes mahkamah berkaitan penggantungan permit penerbitannya.

Bekas editor-in-chief A Kadir Jasin kumpulan News Straits Times telah mendakwa dalam blognya bahawa pembeli berpotensinyaadalah seseorang yang datang dari kem Najib.

The Edge telah digantung selama tiga bulan tahun lalu selepas menerbitkan empat muka mendedahkan dengan mendakwa bahawa hartawan ranggi Jho Low dan PetroSaudi International telah disalurkan RM1.83 bilion daripada 1MDB melalui 1MDB-PetroSaudi syarikat usaha sama.

The Edge meneruskan penerbitannya pada bulan September selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak perintah penggantungan Menteri Dalam Negeri.

Mingguan kewangan itu, yang dimiliki jutawan Datuk Tong Kooi Ong, menarik perhatian baru-baru ini apabila ia mengadakan temu bual eksklusif dengan Presiden 1MDB Arul Kanda.

Tong membeli TMI pada 2014 daripada sekumpulan pelabur yang tidak dinamakan. Portal berita itu telah dilancarkan pada bulan Februari 2008, sejurus sebelum pilihan raya umum ke-12, dan dipercayai telah bertukar tangan beberapa kali.

Malaysiakini telah menghubungi The Edge dan TMI, tetapi kedua-duanya tidak respons kepada soalan-soalan mengenai perkara itu.

Juga difahamkan bahawa beberapa organisasi media telah menerima amaran daripada Pejabat Perdana Menteri sejak beberapa minggu lalu supaya tidak memainkan isu-isu yang boleh menimbulkan pandangan yang negatif terhadap kerajaan, seperti skandal 1MDB.

Bagaimanapun, akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian menafikannya dalam mesej emel kepada Malaysiakini, manakala satu lagi portal berita dwibahasa enggan menjawab pertanyaan mengenai perkara itu.

Sinar Harian adalah satu-satunya akhbar berbahasa Melayu yang tidak mempunyai pautan terus kepada Umno. Jualannya telah meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini kerana pendirian sidang pengarangnya dilihat sebagai agak lebih bebas berbanding pesaing-pesaingnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS