Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Kumpulan anti Mukhriz penyebab Umno kalah 2008

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini mendakwa kumpulan yang merancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah adalah kumpulan sama yang menyebabkan Umno kalah di Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Sambil menyifatkan kumpulan itu tidak mempunyai reputasi baik, beliau berkata langkah mereka menuntut penyingkiran Mukhriz merupakan suatu tindakan yang "amat bersifat politik".

"Mereka mengambil langkah itu tanpa mendapatkan pandangan rakyat (golongan akar umbi) dan merekalah (rakyat) yang akan terpaksa menangung akibatnya (sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap kepimpinan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Global Doctors Clinic, satu rangkaian perkhidmatan perubatan antarabangsa di Langkawi.

Dr Mahathir berkata ketika menjadi perdana menteri, beliau ada melakukan perubahan terhadap kepimpinan Umno Kedah, namun parti itu dapat terus mentadbir Kedah.
Rabu lepas, Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai satu sekumpulan terdiri daripada 15 ketua bahagian Umno, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen dari Kedah untuk menyuarakan kehilangan keyakinan mereka terhadap Mukhriz dan menuntut penyingkirannya sebagai Menteri Besar.

Dr Mahathir berkata selepas isu itu tercetus, beliau ada berjumpa dengan Mukhriz dan antara perkara yang mereka bincangkan ialah berhubung isu berkenaan, di samping hal ehwal keluarga.

Ditanya mengenai nasihat beliau kepada Mukhriz, beliau berkata: "Dalam politik, apa saja boleh berlaku. Tidak ada apa yang kekal kerana kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh bertukar menjadi kawan."

Dr Mahathir berkata sejak timbulnya isu itu, beliau tidak menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tegasnya, tiada nasihat yang perlu beliau beri kepada Najib.

"Saya berpendapat beliau perlu melakukannya (menangani perkara itu). Beliau pandai dan tak perlulah saya menasihati beliau," katanya.

-Bernama

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS