Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

‘Tiada salah’, AG arah SPRM tutup kertas siasatan PM

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini berkata, tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung wang sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya serta siasatan berkaitan SRC International.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan mengendalikan kertas siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengarahkan supaya kertas siasatan tersebut ditutup serta tiada pendakwaan akan dibuat terhadap perdana menteri.

"Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, saya sebagai pendakwaraya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan perdana menteri berkait ketiga-tiga kertas siasatan.

"Pada hari ini, kertas-kertas siasatan yang berkaitan akan dikembalikan kepada pihak SPRM dengan arahan supaya ketiga-tiga kertas siasatan ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Rasuah, suapan? Tiada keterangan

Berhubung kertas siasatan berkaitan dana RM2.6bilion, Apandi berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen sokongan yang menunjukkan wang dimasukkan merupakan sumbangan peribadi.

Sumbangan peribadi itu jelasnya daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada anggota parlimen Pekan itu ( gambar ) tanpa apa-apa balasan.

Malah, katanya, tiada keterangan yang menunjukkan bahawa sumbangan itu berbentuk suapan dan diberi secara rasuah.

"Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah satu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri.

"Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan itu diberi kepada perdana menteri secara peribadi," katanya.

"Tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan banyuan bersama dalam perkara jenayah kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana tersebut," jelasnya lagi.

Sebelum ini, dua kes yang melibatkan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank Najib dan tuduhan RM42 juta disalurkan daripada SRC International ke akaun perdana menteri itu disiasat oleh SPRM.

Kertas siasatan itu kemudiannya diserahkan kepada peguam negara.

Sebelum ini juga, Najib dilaporkan berkata RM2.6 bilion itu merupakan derma politik yang diterima daripada pelbagai sumber, tetapi enggan mendedahkan penderma berkenaan.