Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang unsur rasuah dan tidak menyalah guna kedudukannya dalam siasatan SRC International, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Katanya, beliau mendapati bahawa tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan Najib menyalah guna kedudukannya dan memberi kelulusan jaminan wang pinjaman RM4bilion oleh syarikat berkenaan daripada Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan) (KWAP).

Jelasnya lagi, pihak SPRM turut mengakui tiada keterangan daripada saksi yang boleh menunjukkan perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah.

"Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan perdana menteri mengetahui atau dimaklumkan bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau.

"Keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa material, perdana menteri mempercayai segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke dalam akaun beliau sebelum itu," katanya.

Apandi ( gambar ) berkata dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga berkata, keseluruhan keterangan tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh perdana menteri.

"Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat jemaah menteri adalah dibuat secara teratur," katanya lagi.

Kertas siasatan berhubung SRC International dan wang dana RM2.6 bilion dikemukakan oleh SPRM pada 31 Disember 2015.

SPRM sebelum ini telah merakamkan kenyataan pengarah SRC International dan dan Najib.

SPRM sebelum ini berkata siasatan awal menunjukkan dana RM2.6 bilion itu adalah sumbangan politik.

Najib berkata ia adalah daripada lebih satu sumber tetapi enggan mendedahkan penyumbang berkenaan dan pecahan jumlah derma berkenaan.

Lihat Komen
ADS