Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MUBARAK: Selagi Mukhriz MB, tiada pembangunan di Kedah

Pergolakan kerusi menteri besar Kedah dilihat memberi kesan besar kepada aspek pembangunan negeri sekiranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal berada di tampuk kuasa, kata Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Menurut beliau, pelbagai perancangan dirangka oleh Mukhriz gagal dilaksana susulan hubungan renggang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu dengan kerajaan pusat dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Beliau dilihat bersikap tidak sehaluan dengan perdana menteri, malah seperti memusuhi presiden Umno sendiri. Jika kita ketua, pastinya kita tidak mahu melihat anak buah melawan. Tidak sehaluan dan sejalan dengan kepentingan parti.

"Atas faktor itu, pembangunan di Kedah terbantut dan rancangan kerajaan negeri di bawah Mukhriz hanya menjadi angan-angan kosong. Ia akan merugikan rakyat Kedah sendiri," katanya kepada Malaysiakini , hari ini.

Terdahulu, pelbagai pelan pembangunan yang dirangka Mukhriz sejak menduduki kerusi menteri besar Kedah.

Antaranya, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity), Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE), Bandaraya Getah Kedah, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan Bandar Raya Sains Perubatan Kedah.

Abdul Rahman berkata, kegagalan Mukhriz menjaga hubungan baik bukan sahaja dengan pimpinan tertinggi (Umno) tetapi turut melibatkan peringkat akar umbi.

"Walaupun populariti lebih memihak kepada beliau, tetapi keadaan itu tidak menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

"Beliau nampak dekat dengan golongan muda dan banyak berdamping dengan NGO, tetapi hakikatnya tiada hubungan kuat dengan pimpinan parti peringkat bahagian dan sayap," jelasnya.

Punca pemberontakan

Tambah beliau, Mukhriz adalah orang baru dalam politik Kedah yang tiada pengalaman untuk meneraju kepimpinan ke peringkat akar umbi.

"Mukhriz nampaknya long ranger (keseorangan). Tak nampak kepentingan beliau di peringkat pimpinan bahagian-bahagian dan sayap parti di Kedah.

"Selain itu, orang di sekeliling beliau banyak daripada pegawai yang didatangkan dari Kuala Lumpur dan Ansara (Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara). Tidak banyak bantuan dapat dilakukan mereka kepada Mukhriz," katanya.

Beliau turut mengaitkan punca pemberontakan pimpinan Umno Kedah yang diketuai Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini, adalah atas kegagalan Mukhriz membawa gelombang besar kepada kelangsungan parti.

"Kita tidak nampak aura dan gelombang kekuatan Umno selepas hampir tiga tahun beliau memerintah Kedah. Dan parti tidak boleh bergantung kepada populariti semata-mata untuk menang pilihan raya akan datang.

"Saya percaya pertukaran menteri besar telah diambil kira aspek masa depan Umno Kedah oleh presiden Umno. Tetapi menjadi tugas berat kepada menteri besar baru untuk ambil alih tugas yang ditinggalkan Mukhriz," ujarnya.

Lihat Komen
ADS