Anwar: Penyatuan barisan pembangkang-NGO hampir selesai
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses untuk menyatukan semua parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu barisan untuk membawa perubahan dalam negara sudah hampir selesai.
Menurut Ketua Perhubungan PKR Pahang, Jafri Rashid, Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan demikian dalam ceramahnya kepada kira-kira 10,000 hadirin di Sungai Gau, Temerloh, malam tadi, sempena lawatannya ke Pahang.
Katanya, menurut Anwar sambutan parti pembangkang dan NGO untuk membentuk satu barisan yang kuat amat menggalakkan.
"Beliau percaya usaha ini akan berjaya sepenuhnya tidak lama lagi," katanya Jafri ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Di majlis tersebut, katanya, Anwar mengulangi pendirian untuk terus menentang rasuah meskipun ramai yang mengatakan ia sudah tidak relevan lagi.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, rasuah adalah satu benda yang jijik yang memberi kesan buruk kepada negara dan masyarakat dan tidak mampu bersaing dengan orang lain.
Bawa perubahan
"Rasuah, menurut Anwar, perlu dibanteras secara keseluruhan bermula dari akar umbi hinggalah kepada peringkat atasan kerana ia mencabul hak orang ramai," katanya Jafri.
Anwar juga mengajak rakyat bersatu hati berjuang dalam melakukan perubahan di negara ini kerana setiap orang mempunyai peranan masing-masing dan mereka perlu menjadi ahli parti yang berjuang untuk membawa perubahan kepada negara.
Anwar juga mengulangi bahawa beliau akan terus bersama rakyat dan sesekali tidak akan menyertai Umno walaupun ramai yang sangsi dengan janjinya itu.
Program perjumpaan Anwar dengan rakyat di Temerloh bermula sewal jam 3 petang dengan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Alternatif (BA) Pahang dan selepas itu beliau ke Triang untuk bertemu masyarakat Cina.
Menurut Jafri lagi, kedatangan Anwar memberi semangat baru kepada pembangkang di negeri itu, khusunya kepada ahli-ahli PKR.
Selain Anwar, turut memberi ceramah di majlis tersebut ialah isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS.