PAS mahu isu air dirujuk kepada Majlis Raja-Raja
PAS membantah sikap terburu-buru Kerajaan Pusat untuk mengambilalih pengurusan air tanpa mengikut saluran yang betul, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
"Kerajaan Pusat telah membelakangkan Majlis Raja-Raja Melayu...mereka tidak merujuk kepada Raja-Raja Melayu dan mahu membentangkan pindaan yang membolehkan mereka mengambilalih pengurusan air," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-Raja hari ini sebagai membantah pengambilalihan pengurusan air oleh Kerajaan Pusat.
Ia diserahkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar yang juga Ahli Parlimen Tumpat, kepada Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu, Tan Sri Ungku Ibrahim Ungku Ngah Kuala Lumpur.
Salahuddin berkata, pindaan undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen Isnin dan Selasa ini adalah terlalu tergesa-gesa dan tidak mengambilkira konsep Federalisme yang diamalkan.
"Sedangkan perlu ada satu rujukan kepada Raja-Raja Melayu sebelum Kerajaan Pusat mengambil harta milik kerajaan negeri," tambahnya.
Dalam memorandum, PAS merayu kepada Majlis Raja-Raja supaya mengambil perhatian terhadap cadangan pindaan itu kerana ianya melibatkan pemindahan kuasa negeri kepada persekutuan.
Semangat perlembagaan
Kata Salahuddin, kerajaan satu ketika dahulu pernah berjanji untuk merujuk perkara itu kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu, tetapi kini ternyata mereka tidak berbuat demikian.
"Matlamat tidak boleh menghalalkan cara," tegasnya.
Pakar undang-undang PAS, kata beliau, mendakwa tindakan kerajaan pusat itu bercanggah dengan semangat negara Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.
Rang undang-undang bernombor D.R 30/2004 pindaan Perkara sembilan dan sepuluh akan memberi kesan kepada beberapa perkara, termasuk kuasa kerajaan negeri.
Menurut Salahuddin lagi, Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang Mac ini dan begitu juga dengan sidang Parlimen.
"Mengapa kerajaan tidak boleh menunggu hingga bulan Mac...mengapa mesti mengadakan sidang khas semata-mata untuk meluluskan pindaan tersebut," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Shaziman Mansor berkata, semua negeri termasuk Kelantan bersetuju menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Pusat dan mereka akan dibayar royalti setiap tahun sebagai pampasan kerugian sumber negeri.
Katanya, kerajaan setuju menubuhkan Sekuriti Pengurusan Air Negara (Span) bagi mengambilalih pengurusan air, selain dapat menyediakan bekalan yang lebih baik kepada rakyat.