Malaysiakini BERITA

Pejabat AG enggan gugurkan tuduhan terhadap gadis belon

Yap Jia Hee  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pejabat Peguam Negara menolak permohonan artis Bilqis Hijjas supaya perrtuduhan terhadapnya kerana melepaskan belon kuning pada majlis yang dihadiri oleh perdana menteri dan isteri pada Ogos tahun lalu digugurkan.

Peguamnya, Michelle Yesudas, berkata beliau masih belum menerima jawapan rasmi daripada Pejabat Peguam Negara, tetapi Timbalan Pendakwa Raya Joy Jothi Nadrasan memaklumkan kepadanya hari ini ketika perbicaraan bermula hari ini bahawa permohonan itu telah ditolak.

"Kita tidak tahu sebab-sebab bagi penolakan tetapi saya fikir ini adalah keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali," kata Michelle ketika ditemui pemberita.

Michelle menghantar surat pada 14 Disember tahun lalu kepada Pejabat Peguam Negara meminta tuduhan terhadap Bilqis digugurkan.

Hari ini adalah hari pertama perbicaraan dengan saksi pendakwaan hadir untuk pemeriksaan balas. Walau bagaimanapun, saksi pertama tidak hadir kerana perkahwinan, dan perbicaraan itu ditangguhkan kepada 24 Februari.

Bilqis didakwa melepaskan belon dalam satu majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di pusat membeli-belah Pavilion di Kuala Lumpur pada 31 Ogos, sehari selepas BERSIH menganjurkan perhimpunan 34 jam.

Dia kemudian didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dengan niat untuk menjejaskan keamanan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Badan Peguam Malaysia menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Bilqis kerana “tiada apa yang berbahaya" dengan belon kuning dengan tulisan 'demokrasi', 'media bebas' dan 'keadilan'.

Perhimpunan BERSIH 4 menggesa Najib meletakkan jawatan ketika dirinya sedang terpalit dengan siasatan skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]