Amid selar Guan Eng kerana besar-besarkan isu lawatan ke Amerika
Sebahagian besar perbelanjaan rombongan lawatan sambil bekerja anjuran Kerajaan Melaka ke Amerika Syarikat, sebahagian besarnya dibiayai oleh kerajaan negeri manakala yang lainya dibiayai oleh agensi kerajaan negeri yang ikut serta, kata Ahli Exco Melaka, Datuk Amid Nordin.
Katanya, kerajaan negeri hanya membiayai perbelanjaan untuk Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam dan isteri sahaja, manakala tiga anaknya dibayar oleh Ketua Menteri sendiri.
Menurutnya, lawatan sambil belajar ke Amerika itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Exco negeri itu, tahun lalu.
Rombongan mencari pelaburan selama 15 hari mulai 5 Januari lalu itu, diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob yang membabitkan perbelanjaan RM1 juta.
"Mesyuarat Exco memutuskan Kerajaan Melaka hanya membayar wakil yang bernaung atas nama kerajaan negeri, termasuk Tun Khalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Rusli Joharie, Ahli Exco Datuk Poh Ah Tiam dan isteri.
"Yang lain-lainnya dibayar sendiri oleh agensi kerajaan negeri yang terlibat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Rombongan anjuran Kerajaan Melaka ke Amerika itu menjadi buah mulut apabila dua anak lelaki dan seorang anak perempuan Mohd Ali turut serta dalam lawatan sambil bekerja tersebut.
Cari pelaburan
Amid berkata, tiga anak Mohd Ali memang tidak terlibat dengan aturcara rombongan tetapi dibolehkan menyertainya kerana kerajaan negeri tidak membayar sesen pun kos mereka.
"Bukan sekali kerajaan negeri mengadakan lawatan sedemikian kerana ia adalah untuk mencari sumber pelaburan kepada Melaka," katanya lagi.
Amid berkata, beliau tidak ikut serta rombongan tersebut kerana mesyuarat Exco memutuskannya untuk membuat persiapan bagi menyambut lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Melaka Khamis lalu.
Beliau menyelar pembangkang kerana memperbesarkan isu lawatan Kerajaan Melaka ke Amerika sedangkan tiada sebarang kesalahan yang berlaku dalam lawatan tersebut.
Sebelum, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, lawatan Kerajaan Melaka ke Amerika tersebut sekadar menghabiskan wang kerana tidak memberi sebarang manfaat kepada sektor pelancongan Melaka.
"Mengapa selama 15 hari itu, hanya ada satu acara rasmi sedang anggota rombongan singgah di beberapa tempat termasuk di Timur Tengah. Bagi saya ia tidak lebih daripada untuk berseronok," katanya kepada malaysiakini.
Lim juga mendakwa lawatan ke St Antonio di Amerika yang kononnya untuk mempelajari pelancongan di sana, sebenarnya merugikan kerana keadaan tempat itu tidak sesuai untuk dipraktikkan adi Melaka.
Gunung berapi
"Hawai ada gunung berapi, adakah cara ini boleh dibuat di Melaka? Lebih baik belajar dari Pulau Sentosa (Singapura), Bali atau Hong Kong. Kalau hendak tarik pelancong Eropah, lebih baik ke Australia dan Eropah Barat," katanya lagi.
Menurutnya, lebih pelik lagi, mengapa Exco Pelancongan dan Kebudayaan Melaka, Amid dan timbalannya, Datuk Chua Peng Siong tidak ikut serta dalam lawatan tersebut.
Lim juga mempersoalkan mengapa kerajaan negeri menggunakan agensi pelancongan swasta sedangkan Kerajaan Melaka mempunyai agensinya sendiri iaitu Maim Travel Sdn Bhd, anak syarikat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Menurut salinan aturcara lawatan tersebut, rombongan 23 anggota itu melawat Hawaii, San Antonio, Houston, New Orleans dan Miami serta membuat persinggahan transit di London dan Dubai, sewaktu dalam penerbangan pulang ke Malaysia.
Sepanjang lawatan sambil bekerja itu, rombongan tersebut hanya mempunyai satu aturacara rasmi yang telah disahkan, iaitu pertemuan dengan Lt Gobenor Hawai, James R Alona Jr.
Aturcara lain "lawatan rasmi' tersebut ialah lawatan ke Pearl Harbour, San Antonio riverwalk, French Quarters, Millionaires Row di New Orleans, Taman Negara Everglades di Miami dan Pusat Perubatan Houston.
Bagaimanapun, Ali Rustam yang memenangi jawatan Naib Presiden Umno baru-baru ini, pulang ke Malaysia Rabu lalu untuk menghadiri majlis yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kemudiannya berlepas semula ke Dubai untuk menyertai semula rombongan tersebut.