Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'AG mesti dakwa pegawai SRC salur dana ke akaun Najib’
Diterbitkan:  Feb 1, 2016 4:11 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Sebagai usaha menyelamatkan maruah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu mendakwa pegawai SRC International Sdn Bhd yang memindahkan dana ke akaun bank peribadinya.

"Apandi perlu dakwa mereka yang terlibat secara 'sembunyi-sembunyi' memindahkan RM42 juta (dicampur dengan RM27 juta lagi) daripada SRC International ke akaun peribadi (Najib) dan membantu membayar perbelanjaan kad kreditnya.

"Lagipun, Apandi sendiri yang 'mendedahkan' fakta-fakta ini kepada akhbar," kata tokoh wartawan negara Datuk A Kadir Jasin dalam pos terbaru di blognya hari ini.

Kenyataan Kadir itu dibuat selepas Apandi pada sidang akhbar minggu lalu mendedahkan bahawa Najib "tidak tahu" bahawa dana dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB itu telah dipindahkan ke akaun bank peribadinya.

Perdana Menteri, menurut Apandi sememangnya mempercayai bahawa bayaran berkenaan adalah dari sumbangan politik keluarga diraja Saudi.

Sebanyak RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib pada tahun 2013 manakala dana SRC International sebanyak RM42 juta juga disalurkan ke akaunnya pada akhir 2014 dan awal 2015.

Mengulas lanjut keputusan Apandi untuk membebaskan perdana menteri daripada sebarang salah laku, Kadir berkata bahawa peguam negara hanya memburukkan lagi keadaan terhadap Najib.

Dalam berkata demikian, beliau memetik kes pendakwaan di Perancis bekas bos pembuat senjata Thales, Bernard Baiocco kerana membayar sogokan kepada bekas pembantu Najib - Abdul Razak Baginda berhubung pembelian kapal selam Scorpene.

Kadir juga memetik kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang berkata AS$4 bilion mungkin terdapat salah guna dalam dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun bank Switzerland.

"Sekarang, kerajaan asing dan agensi-agensi penguatkuasaan memperincikan siasatan ke atas Najib dan syarikat-syarikat serta mereka yang dikaitkan dengannya berhubung 1MDB.

"Ia tandanya bahawa mereka tidak memberi banyak kredibiliti terhadap keputusan Apandi," kata Kadir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS