Seorang ahli akademik kanan hari ini memberi amaran bahawa kegagalan Pakatan Harapan di Selangor bagi memastikan pertandingan satu penjuru menentang BN boleh menyebabkan kerusi menteri besar jatuh ke tangan DAP.
Akhbar Sinar Harian memetik pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) pensyarah kanan, Md Shukri Shuib berkata beliau percaya DAP akan mengambil alih jawatan menteri besar kerana parti itu cenderung meletakkan calon Melayu bertanding dalam pertembungan tiga penjuru.
“Pembentukan Pakatan Harapan termasuk dalam konteks Selangor memudahkan lagi DAP mendapatkan kerusi menteri besar apabila calon Melayu mereka yang bertanding menang.
“Sebenarnya DAP mungkin akan dapat menggantikan Azmin sebagai menteri besar kerana dalam hal ini, PKR dan AMANAH jelas memainkan peranan sebagai pembantu strategik pada peluasan pengaruh dan kuasa politik DAP,” kata Shukri yang dipetik oleh Sinar Harian .
Pada masa yang sama, Shukri berkata keengganan PAS menyetujui prinsip satu lawan satu juga boleh menyebabkan PKR kehilangan lebih banyak kerusi di Selangor dan memberi laluan kepada DAP untuk membentuk majoriti di DUN yang mempunyai 36 kerusi itu.
“PKR sudah menjangka kesukaran yang akan mereka lalui di Selangor dalam PRU14 nanti kerana komposisi kawasan di Selangor agak rumit kalau hendak dipecahkan mengikut majoriti kaum dan parti.
“Tambahan pula strategi politik di negeri berkenaan memerlukan penglibatan signifikan undi semua kaum tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar,” katanya.
Pada PRU-13, DAP menyapu bersih semua 15 kerusi negeri yang ditandinginya di Selangor, bersama-sama dengan PAS dan PKR sebagai Pakatan Rakyat ketika itu.
Berikutan pembubaran Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Harapan Selangor terdiri daripada 13 ADUN PKR dan dua dari Amanah.
PAS mempunyai 13 ADUN manakala Umno yang membentuk pembangkang di Selangor mempunyai 12 wakil.
