Bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali atas dakwaan salah guna kuasa.
Khairuddin mendakwa Apandi salah guna kuasa dalam siasatan kes derma RM2.6 bilion dan SRCInternational melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Kita meminta SPRM menyiasat sama ada wujud atau berlakunya apa-apa unsur salah guna kuasa ataupun cuai jenayah beliau atas pendirian sikap peguam negara untuk membebaskan PM daripada isu utama yang menjadi polemik pada isu di tanah air kita pada hari ini,” katanya.
Beliau hadir di bangunan SPRM di Putrajaya kira- kira jam 11 pagi dan meninggalkan bangunan itu sekitar 1.45 petang.
Minggu lalu, Apandi membersihkan Najib dalam kes derma RM2.6 bilion yang diterimanya dan kes berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International serta mengarahkan SPRM menutup kes.
Peguam negara itu juga mengumumkan Najib telah mengembalikan semula sebahagian besar wang RM2.6 bilion yang diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.
Mengulas lanjut, Khairuddin turut mempersoalkan tindakan Apandi yang mengadakan sidang media mengarahkan SPRM menutup kes terhadap Najib.
"Siapa peguam negara hendak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran SPRM?
"Apakah beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian?
"Pada hemat saya juga, Apandi ini namanya dulu dikemukakan Najib kepada Agong untuk menggantikan tempat peguam negara lama, Tan Sri Gani Patail yang dibuang tanpa asas kukuh.
“Ini membawa erti Najib pilih Apandi sebagai peguam negara ," katanya.
Kemelut Kedah: Maki pemimpin Umno
Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung isu pertukaran menteri besar Kedah, Khairuddin berkata apa yang berlaku kini adalah kerana sikap pemimpin Umno yang “bangang”.
"Mereka yang duduk di kerusi MT Umno hari ini semuanya bangang. Semua mereka lembu yang dicucuk hidung yang boleh ditarik ke kiri dan kanan,” katanya.
Bagaimanapun, Khairuddin menyatakan rasa syukur kerana sehingga hari ini pentadbiran Najib masih gagal untuk menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.
Krisis menteri besar Kedah sudah berlarutan sejak lebih seminggu lalu, sejak timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media pada 20 Januari menggesa Mukhriz disingkirkan.
