GLOBAL Biro siasatan dan pendakwaan awam di Jeddah, Arab Saudi telah mengenal pasti 40 orang yang akan didakwa kerana kecuaian yang mengakibatkan kemalangan kren di Masjidil Haram pada tahun lalu.
Kejadian kemalangan kren di tanah suci itu mengakibatkan 111 orang terbunuh dan 238 orang cedera.
Fail-fail pihak tertuduh telah dipindahkan dari Riyadh ke Mekah di mana pihak pendakwaan negeri dijangka akan menambah beberapa lagi nama pada minggu depan untuk senarai akhir, lapor Arab News .
Empat puluh orang yang tersenarai itu termasuk 10 pegawai kerajaan manakala yang lain ialah pengurus, juruteknik dan jurutera yang bekerja di tapak projek bagi pembesaran besar-besaran Masjidil Haram.
Siasatan awal mendedahkan kren tersebut jatuh kerana kecuaian yang melibatkan beberapa kakitangan Kumpulan Saudi Binladin – antara nama yang terdapat dalam laporan yang kemudian dihantar ke pejabat pendakwa raya di Riyadh.
Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman tahun lalu mengarahkan supaya pampasan besar diberikan kepada keluarga yang terbunuh dan tercedera dalam tragedi kren tersebut.
Dalam perintah diraja, pemerintah mengumumkan bahawa sebanyak SR1 juta akan dibayar kepada keluarga setiap mangsa dan SR1 juta kepada mereka yang cedera sehingga menyebabkan kehilangan upaya kekal manakala SR500,000 pula bagi setiap mangsa yang cedera.
Pihak kerajaan Saudi juga menyatakan bahawa bayaran itu tidak akan mengecualikan keluarga si mati atau yang cedera daripada mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah bagi menuntut pampasan.
Pihak kerajaan kini turut mengkaji laporan jawatankuasa yang menyiasat kejadian tersebut.
