Selepas Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) membantah kenaikan mendadak levi pekerja asing, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) hari ini tampil menyatakan perkara sama.
Naib presiden MBAM, Tan Sri A K Nathan berkata, sektor pembinaan akan mengalami kesan besar susulan kenaikan levi pekerja asing kepada RM2,500, berbanding RM1,250 bagi setiap pekerja asing yang dibawa masuk ke dalam negara untuk sektor tersebut.
Beliau juga menyarankan kerajaan mendaftar pekerja asing tanpa izin jika mahu menambahkan hasil negara, bukan menaikkan bayaran levi pekerja asing.
"Jika kerajaan nak tingkatkan pendapatan, daftar pendatang asing tanpa izin," katanya dalam sidang media di pejabat MBAM Kuala Lumpur, hari ini.
Dianggarkan, Putrajaya mampu mengutip sehingga RM2.6 bilion hasil melalui kenaikan kadar levi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan, bermula 1 Februari, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga dua kali ganda iaitu antara RM1,250 kepada RM2,500.
Bagi sektor perkhidmatan juga mengikut kadar levi yang baharu berbanding sebelum ini RM1,850, manakala sektor perladangan dan pertanian pula perlu membayar RM1,500.
Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal pada tahap RM410.
Kadar baru itu katanya selari dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.
Zahid berkata, penstrukturan semula dilakukan susulan 2.135 juta pekerja asing berdaftar memperoleh pelbagai manfaat sepanjang bekerja di negara ini termasuk subsidi makanan dan perkhidmatan lain.
Kos perniagaan naik
Mengulas lanjut Nathan berkata dengan peningkatan levi tersebut, kos perniagaan juga akan meningkat sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Perniagaan juga menyumbang kepada ekonomi, kenapa cukai dan menyukarkan syarikat? Ia akan menyukarkan ekonomi negara," kata Nathan.
Nathan berkata, kenaikan kadar levi itu juga akan memberikan kesan kepada lebih 130 industri hiliran daripada pembinaan.
"Kos tambahan itu akhirnya perlu ditanggung pengguna," katanya.
